Kerajaan Komited Tingkat Pelaburan Langsung Asing dan Domestik – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited untuk menambah baik dan memperkasa ekosistem serta landskap pelaburan negara bagi meningkat dan mengekalkan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, katanya, kerajaan juga bersetuju untuk menambah baik ekosistem Agensi Penggalakan Pelaburan (IPA) negara dengan melaksanakan satu inisiatif yang, antara lainnya, akan menyelaras fungsi dan peranan koridor ekonomi wilayah berkaitan pelaburan.

“Langkah ini amat penting dalam memastikan pendekatan menyeluruh kerajaan dari segi aktiviti penggalakan pelaburan negara secara lebih tersusun, cekap dan teratur.

“Ini juga akan memastikan Malaysia dapat mengoptimumkan sumber sedia ada bagi mengatasi isu pertindihan tanggungjawab antara IPA sekali gus menjamin penyampaian perkhidmatan IPA yang lebih berkesan.

“Tadbir urus IPA juga merupakan faktor penting bagi pelabur membuat keputusan dan menilai Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Anwar berkata, perkara ini dibincangkan semasa Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bil 1/2023 dipengerusikan beliau yang diadakan buat pertama kali selepas diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada Februari lepas.

Anggota tetap Majlis terdiri daripada Menteri Kewangan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Menteri Ekonomi; Gabenor Bank Negara Malaysia dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan.

MPN berperanan sebagai badan eksekutif tertinggi dalam merencanakan agenda berkaitan pelaburan sekali gus memastikan tadbir urus pelaburan negara diperkasakan.

Majlis itu juga bertanggungjawab untuk menangani isu dan cabaran utama dalam pelaksanaan projek pelaburan, terutamanya yang melibatkan pelaburan strategik dan berimpak tinggi bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek tersebut.

“Dalam usaha untuk menyelaras aktiviti penggalakan pelaburan dengan lebih berkesan dan meningkatkan keupayaan IPA dari segi keutamaan strategik, fungsi, sumber manusia, ciri organisasi dan dasar tadbir urus, penyusunan semula ekosistem IPA negara akan dimulakan dengan pelan penyelarasan fungsi dan peranan IPA secara berfasa,” kata Anwar.

Sehubungan itu, MPN juga bersetuju untuk memperkasakan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai agensi penggalakan pelaburan utama negara, katanya.

Menurut Perdana Menteri, pengukuhan fungsi penyelenggaraan akaun dan pemantauan oleh IPA serta pemusatan pelaporan maklumat terkini pelaburan di bawah satu platform atau dashboard tunggal juga akan menangani isu pelabur secara tangkas serta menyokong penggubalan dasar untuk pembangunan industri, insentif galakan pelaburan dan memudahcara perjalanan pelabur serta fasilitasi pelaburan yang berkesan.

“Hasrat ini adalah selaras dengan teras strategik di bawah Dasar Pelaburan Baharu (NIP) berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang menggariskan keperluan untuk menilai semula landskap IPA negara agar lebih terancang sekali gus memudahkan perjalanan pelabur,” katanya.

Mesyuarat MPN kali pertama itu juga turut membincangkan mengenai pemantauan projek pelaburan khususnya hasil potensi pelaburan menerusi program Misi Penggalakan Perdagangan dan Pelaburan yang diketuai Anwar dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

Jumlah pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi bagi Suku Pertama (S1) tahun 2023 adalah sebanyak RM71.4 bilion, iaitu peningkatan 59.7 peratus berbanding S1 2022 (RM44.7 bilion), merangkumi 1,265 projek yang berpotensi menjana hampir 24,000 pekerjaan bagi rakyat Malaysia.

MPN dijadualkan untuk bersidang sekurang-kurangnya empat kali setahun agar setiap inisiatif dan program pelaburan dapat dipantau dan dinilai keberkesanannya.

“Kerajaan komited untuk memastikan setiap pelaburan yang diluluskan akan dilaksanakan, dan seterusnya akan memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Kerajaan yakin dasar dan strategi yang digubal akan memperkasakan ekosistem pelaburan dan merancakkan aktiviti pelaburan untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi negara serta mengembalikan kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini,” kata Anwar. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat