UMNO Harus Akur Tangguh Pemilihan Parti Ikut Arahan MKN – Tajuddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – UMNO harus menerima ketetapan yang dibuat oleh pihak berkuasa sekiranya pemilihan parti itu tidak dapat dilangsungkan dalam masa terdekat.

Perkara ini timbul susulan khabar angin yang mendakwa bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak membenarkan UMNO mengadakan pemilihan ekoran penularan wabak Covid-19 ketika ini.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata MT UMNO sebelum ini telah membuat ketetapan untuk merujuk MKN terlebih dulu bagi mengadakan pemilihan parti itu.

“Keputusan MT UMNO sebelum ini bahawa kita akan merujuk MKN terlebih dulu bagi mengadakan pemilihan. Kalau MKN kata tak boleh (adakan pemilihan) kita akur.

“Sebab kalau kita buat pemilihan ramai akan berkumpul, kita ada beribu cawangan dan lebih tiga juta ahli.

“Kita merujuk MKN untuk mendapatkan garis panduan, kalau mereka kata tak boleh maka kita akur,” katanya memetik Malaysiakini.

Pada mesyuarat MT UMNO 25 April lalu, parti itu membuat ketetapan untuk merujuk MKN terlebih dulu bagi mengadakan pemilihan parti.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah mengumumkan sebarang penangguhan pemilihan.

Malah, segelintir pemimpin UMNO mendesak agar pemilihan parti itu disegerakan bagi menyelesaikan kemelut dalam parti.

Kali terakhir pemilihan UMNO diadakan adalah pada 30 Jun 2018 dan tempoh itu akan tamat pada Jun depan.

Namun, UMNO masih boleh menangguhkan pemilihannya seperti ditetapkan di bawah perlembagaan parti.

Dalam pada itu, sumber dalaman UMNO memaklumkan kepada portal itu bahawa secara dasarnya pemilihan parti itu tidak dapat diadakan Jun ini.

Katanya, hasil pertemuan dengan wakil UMNO baru-baru, MKN tidak membenarkan pemilihan diadakan kerana gelombang ketiga penularan Covid-19.

“Setakat ini secara lisan dan secara dasarnya MKN menolak permohonan UMNO untuk mengadakan pemilihan.

“Namun sehingga kini belum ada sebarang surat rasmi daripada pihak MKN,” katanya.

Tambahnya lagi, sama ada pemilihan akan ditangguhkan ataupun tidak akan diputuskan 6 Jun nanti.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat