SEREMBAN, – Tindakan empat Undang Luak Negeri Sembilan mengadakan sidang media mengisytiharkan “pemecatan” Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir mencetuskan persoalan besar sama ada pemerintahan baginda kini berdepan titik penamat.
Dalam sidang media tersebut, empat Undang Yang Empat turut mengumumkan pelantikan Tunku Dato’ Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tunku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu, satu langkah luar biasa yang jarang berlaku dalam sejarah moden negeri itu.
Empat Undang terbabit ialah Dato’ Klana Petra Dato’ Mubarak Dohak (Sungai Ujong), Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Maarof Mat Rashad (Jelebu), Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Muhammad Abdullah (Johol) dan Dato’ Lela Maharaja Dato’ Abd Rahim Yassin (Rembau).
Perkembangan ini dilihat sebagai kemuncak ketegangan dalam institusi adat Negeri Sembilan, khususnya selepas Undang Sungai Ujong, Dato’ Klana Petra Dato’ Mubarak Dohak, dilaporkan diberhentikan melalui sidang khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) beberapa hari lalu.
Sidang DKU yang berlangsung di Istana Besar Seri Menanti itu dipengerusikan oleh Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sendiri, dengan 33 sebab dikemukakan sebagai asas pemberhentian, sebelum Luak Sungai Ujong dinasihatkan menerima keputusan tersebut selaras Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Sumber-sumber turut memaklumkan bahawa perselisihan antara Undang dan pihak Istana bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu melibatkan isu darjah kebesaran, keutamaan protokol serta soal penghormatan terhadap institusi Undang dalam struktur adat negeri.
Susulan itu, sidang media oleh empat Undang dilihat sebagai tindak balas langsung terhadap perkembangan terkini, sekali gus mencerminkan pertembungan terbuka antara dua lapisan kuasa dalam sistem Adat Perpatih.
Namun begitu, persoalan utama yang masih belum terjawab ialah sama ada Undang Yang Empat, yang mempunyai peranan memilih Yang di-Pertuan Besar, turut mempunyai kuasa untuk memecat baginda tanpa melalui keseluruhan proses institusi seperti DKU.
Dari sudut perundangan, kedudukan ini masih kabur dan belum diuji secara muktamad. Namun dari sudut moral dan legitimasi adat, penolakan terbuka oleh empat Undang terhadap kepimpinan baginda menjadikan kedudukan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dilihat semakin sukar untuk dipertahankan.
Setakat ini, tiada pengesahan rasmi daripada pihak Istana Negeri Sembilan atau kerajaan negeri berhubung pengisytiharan tersebut, menjadikan kedudukan sebenar Yang di-Pertuan Besar masih belum jelas.
Penganalisis melihat situasi ini berpotensi berkembang menjadi krisis perlembagaan negeri sekiranya kedua-dua pihak kekal dengan pendirian masing-masing, sekali gus membuka kemungkinan berlakunya pertikaian undang-undang atau campur tangan institusi lain bagi menentukan kesahihan tindakan tersebut.
Buat masa ini, persoalan sama ada penolakan empat Undang benar-benar mampu menamatkan pemerintahan Tuanku Muhriz kekal terbuka, dengan perkembangan lanjut dijangka menjadi penentu kepada hala tuju krisis ini. – SuaraTV



