KUALA LUMPUR, — Pameran Defence Services Asia (DSA) dan NATSEC Asia 2026 mencatat penyertaan lebih besar berbanding edisi 2024, ketika persiapan akhir berjalan lancar menjelang pembukaan rasmi esok.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin dalam sidang media selepas sesi walkabout bersama media hari ini.
Menurut beliau, peningkatan penyertaan mencerminkan keyakinan berterusan komuniti antarabangsa terhadap DSA sebagai platform utama dalam sektor pertahanan dan keselamatan.
Katanya, antara negara yang mencatat penyertaan terbesar termasuk Turkiye, China, Amerika Syarikat, India dan Korea Selatan.
“Dari segi saiz pavilion, China mencatatkan penyertaan terbesar dengan 192 syarikat, diikuti Turkiye sebanyak 87 syarikat dan Amerika Syarikat sebanyak 83 syarikat,” katanya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan sebanyak 368 syarikat tempatan turut mengambil bahagian dalam pameran kali ini.
Katanya, penyertaan itu selari dengan dasar kerajaan yang menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus komponen tempatan dalam perolehan aset pertahanan.
“Ini menunjukkan syarikat tempatan semakin bersedia untuk menawarkan produk dan perkhidmatan kepada syarikat OEM yang terlibat dalam projek pertahanan negara,” katanya.
Beliau berkata, antara kelainan DSA 2026 ialah pengenalan beberapa segmen baharu termasuk ancaman CBRNE (Chemical, Biological, Radiological, Nuclear and Explosives), peralatan taktikal serta platform inovasi untuk syarikat kecil dan sederhana (PKS).
Selain itu, forum utama seperti Putrajaya Forum dan UPNM Forum turut diadakan dengan memberi tumpuan kepada isu keselamatan serantau dalam era teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa DSA bukan sekadar pameran teknologi pertahanan, tetapi juga platform penting untuk diplomasi pertahanan.
Katanya, penganjuran tersebut membuka ruang kepada pegawai kerajaan dan angkatan tentera dari pelbagai negara untuk berkongsi pengalaman serta memperkukuh hubungan strategik.
“Saya berpuas hati dengan tahap persiapan yang telah dilakukan dan yakin semua akan siap sepenuhnya menjelang pembukaan rasmi,” katanya.



