Titah Raya Raja Muda Selangor tampil segar, tarik perhatian rakyat

SHAH ALAM – Titah ucapan Hari Raya Aidilfitri oleh Tengku Amir Shah, Raja Muda Selangor, tampil dengan pendekatan segar dan berbeza sehingga mencetuskan keterujaan dalam kalangan rakyat.

Video titah yang dimuat naik melalui platform media sosial rasmi Baginda seperti Instagram, Facebook dan TikTok menerima sambutan memberangsangkan dengan ribuan tontonan, perkongsian serta komen positif daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Rata-rata warganet menzahirkan rasa gembira dan teruja terhadap pendekatan santai yang diketengahkan. Ruangan komen turut dihiasi ucapan Selamat Hari Raya kepada Baginda serta pasangan, Afzaa Amin, selain pujian terhadap sifat mesra rakyat yang ditampilkan.

Keunikan video tersebut terserlah melalui gabungan elemen tradisi dan nostalgia yang dekat di hati masyarakat. Visual memaparkan keceriaan kanak-kanak, kenangan bermain basikal, suasana penyediaan juadah seperti lemang serta amalan ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan yang menjadi inti pati sambutan Aidilfitri.

Penghasilan video itu turut memperlihatkan sentuhan kreatif yang teliti, dengan susunan visual yang harmoni serta penyampaian titah yang lembut dan menyentuh perasaan. Pendekatan berunsur penceritaan kehidupan seharian menjadikan mesej Aidilfitri lebih mudah dihayati.

Dalam titah berkenaan, Baginda menyampaikan salam Aidilfitri kepada seluruh rakyat Selangor sambil mendoakan agar hubungan silaturahim terus diperkukuh serta kesejahteraan sentiasa mengiringi setiap keluarga.

Pemerhati melihat pendekatan ini sebagai gambaran evolusi komunikasi institusi diraja yang semakin dekat dan relevan dengan rakyat, khususnya generasi muda yang aktif di media sosial. Titah berkonsepkan visual kreatif dan naratif santai itu dilihat mampu merapatkan lagi hubungan antara institusi diraja dan masyarakat.

Pejabat Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor dalam kenyataan memaklumkan bahawa video titah tersebut dihasilkan dengan penuh penghayatan terhadap nilai tradisi dan semangat kebersamaan yang menjadi asas sambutan Aidilfitri di negeri itu.

Pautan Titah Ucapan :
Facebook –
https://www.facebook.com/share/v/17qcRxpCY7/?mibextid=wwXIfr

TikTok –
https://vt.tiktok.com/ZSuXcsw9D/

Instagram -https://www.instagram.com/reel/DWBrnqxEZ0n/?igsh=MWY3eHV6Y2RscDQ5aw==

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat