RIYADH – Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al Saud memberi amaran tegas kepada Iran bahawa tahap kesabaran negara-negara Teluk terhadap serangan yang didakwa dilakukan Tehran bukanlah “tanpa had”, sekali gus menggesa Iran segera menilai semula strategi ketenteraannya di rantau tersebut.
Dalam sidang media awal pagi Khamis, beliau menegaskan bahawa Arab Saudi bersama negara-negara jiran di Teluk memiliki “keupayaan dan kapasiti yang sangat signifikan” untuk bertindak balas sekiranya mereka memilih untuk berbuat demikian.
Menurut beliau, ketepatan sasaran dalam beberapa serangan yang dilaporkan berlaku di Arab Saudi serta negara jiran menunjukkan bahawa tindakan tersebut telah dirancang secara rapi dan bukan sekadar tindak balas spontan.
“Tahap ketepatan dalam sebahagian serangan ini yang turut dilihat di negara jiran dan juga di kerajaan Arab Saudi jelas menunjukkan ia telah dirancang, disusun dan difikirkan dengan teliti,” katanya.
Bagaimanapun, Putera Faisal enggan memperincikan apakah bentuk tindakan pertahanan yang mungkin diambil oleh Riyadh, dengan alasan langkah tersebut tidak wajar diumumkan secara terbuka kepada Iran.
Beliau turut menegaskan bahawa kesabaran negara-negara Teluk terhadap serangan yang didakwa dilakukan Iran mempunyai had tertentu.
“Kesabaran yang ditunjukkan bukan tanpa had. Sama ada sehari, dua hari atau seminggu – saya tidak akan memberi isyarat mengenainya,” katanya.
Amaran itu dibuat susulan mesyuarat Menteri-menteri Luar negara Arab dan Islam yang berlangsung di ibu negara Arab Saudi pada hari sama bagi membincangkan konflik yang semakin meluas di rantau berkenaan.
Pada Rabu, serangan dilaporkan menyasarkan kemudahan tenaga di beberapa negara Teluk, termasuk bandar industri Ras Laffan di Qatar, yang merupakan pusat pengeluaran gas asli cecair (LNG) terbesar dunia, menyumbang kira-kira 20 peratus bekalan LNG global. Kemudahan gas Habshan di Emiriah Arab Bersatu turut dilaporkan terjejas.
Kementerian Luar Qatar mengecam keras serangan tersebut dan menyifatkannya sebagai tindakan terang-terangan yang menyasarkan kemudahan strategik negara itu.
Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) sebelum ini memberi amaran bahawa kemudahan minyak dan gas di Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu boleh menjadi sasaran serangan balas susulan serangan Israel terhadap medan gas South Pars di Iran.
Media kerajaan Iran turut melaporkan bahawa kemudahan berkaitan medan gas luar pesisir South Pars di wilayah Bushehr telah diserang.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pertahanan Arab Saudi memaklumkan bahawa sistem pertahanan udara negara itu berjaya memintas empat peluru berpandu balistik Iran yang disasarkan ke Riyadh serta dua lagi ke wilayah timur negara tersebut.
Di Emiriah Arab Bersatu, pihak berkuasa pertahanan dilaporkan memintas 13 peluru berpandu balistik dan 27 dron, manakala operasi di kemudahan gas Habshan digantung sementara bagi menangani insiden serpihan peluru berpandu yang jatuh.
Mengulas prospek hubungan masa depan dengan Tehran, Putera Faisal berkata kepercayaan antara kedua-dua pihak kini “telah hancur sepenuhnya” akibat taktik Iran yang didakwa menyasarkan negara jiran.
“Kami tahu Iran telah membina strategi ini sejak lebih sedekad lalu. Ia bukan tindakan improvisasi, sebaliknya sebahagian daripada perancangan perang mereka untuk memberi tekanan kepada komuniti antarabangsa,” katanya.
Beliau menambah, walaupun konflik di rantau itu mungkin akan berakhir suatu hari nanti, proses memulihkan kepercayaan antara Arab Saudi dan Iran dijangka mengambil masa yang sangat panjang.
“Jika Iran tidak menghentikan tindakan ini segera, hampir tiada apa lagi yang boleh mengembalikan kepercayaan tersebut,” tegasnya.



