KUALA LUMPUR, — Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memaklumkan beliau telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi, lewat petang tadi bagi membincangkan perkembangan mutakhir di Asia Barat yang semakin membimbangkan.
Menurut beliau menerusi hantaran di Facebook, perbincangan itu turut menyentuh suasana konflik yang kian meruncing, lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan yang sepatutnya menjadi medan kedamaian dan ketenangan.
Anwar turut merakamkan penghargaan atas ucapan Aidilfitri yang disampaikan Modi kepada rakyat Malaysia.
Dalam masa sama, beliau menegaskan pendirian tegas dan konsisten Malaysia dalam mengutuk tindakan pengeboman dan pembantaian oleh Israel terhadap Iran, yang didakwa mendapat sokongan Amerika Syarikat.
“Kami sepakat untuk menyeru kepada penghentian segera pertempuran serta menggembleng usaha untuk menjunjung suara damai, diplomasi dan dialog yang sihat,” katanya.
Menurut beliau, kedua-dua negara juga bersetuju untuk memperkukuh peranan dan suara kolektif di pentas antarabangsa, termasuk melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan BRICS.
Tambah Anwar, kerjasama erat antara Malaysia dan India dilihat semakin penting ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi global yang turut memberi kesan kepada aspek keterjaminan makanan.
“Malaysia dan India akan terus memperkukuh iltizam bersama demi keamanan sejagat,” katanya.



