KUALA LUMPUR — Program Kembara Ramadan Prihatin 2026 berjaya memberi manfaat kepada lebih 18,000 rakyat sepanjang Ramadan tahun ini sekaligus tertumpu kepada cabaran peningkatan kos sara hidup selepas Aidilfitri, terutama jika konflik di Asia Barat berlarutan.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional, Datuk Aizuddin Mohd Ghazali berkata, pihaknya sedang merangka pelan sokongan jangka pendek antara tiga hingga enam bulan bagi membantu golongan miskin bandar, terutamanya di sekitar Lembah Klang.
“Program ini telah membantu lebih 18,000 penerima sepanjang Ramadan, namun cabaran sebenar dijangka selepas Aidilfitri. Kami kini memberi fokus kepada pelan bantuan jangka pendek bagi memastikan golongan miskin bandar terus dibela,” katanya.
Menurut beliau, terdapat isi rumah berpendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 yang masih terkesan dari segi kewangan, lebih-lebih lagi apabila menanggung ahli keluarga yang ramai.
“Keadaan ini memang berlaku di lapangan. Justeru, kita bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pihak korporat serta agensi kerajaan bagi merangka bantuan berkala selain menggalakkan amalan perbelanjaan berhemah,” katanya.
“Walaupun berpendapatan sederhana, tanggungan yang ramai menyebabkan ramai masih bergelut dengan kos sara hidup. Kerjasama pelbagai pihak amat penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara berterusan dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Infaq Zakat dan Sumbangan Aidilfitri Prestasi Setia Unggul sempena penutup Kembara Ramadan Prihatin 2026 di ibu Negara semalam.
Dalam majlis tersebut, lebih 600 penerima daripada golongan asnaf menerima sumbangan melalui Program Infaq dan Zakat Aidilfitri 2026 anjuran Prestasi Setia Unggul dengan kerjasama Yayasan Prihatin Nasional sebagai penyelaras.
“Majlis ini bukan sekadar simbolik, tetapi usaha nyata membantu golongan asnaf membuat persiapan Aidilfitri. Peranan sektor korporat amat signifikan dalam memastikan tanggungjawab sosial terus diperkasa,” ujarnya.
Inisiatif ini bertujuan membantu meringankan beban kewangan penerima dalam membuat persiapan Aidilfitri, di samping mencerminkan komitmen berterusan sektor korporat dalam melaksanakan tanggungjawab sosial.
Sepanjang 27 hari Ramadan, pelbagai program dilaksanakan hasil kerjasama antara Yayasan Prihatin Nasional, Yayasan Sukarelawan Briged Khidmat Negara (MAIWP) serta Pertubuhan Prihatin Tanpa Sempadan yang memberi manfaat kepada pelbagai golongan.
“Sepanjang Ramadan, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan. Kerjasama strategik antara NGO dan agensi memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini,” katanya.

Daripada jumlah keseluruhan penerima, kira-kira 6,000 adalah penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang menerima sumbangan pakaian Aidilfitri, manakala sekitar 10,000 lagi terdiri daripada petugas barisan hadapan termasuk kakitangan hospital dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain itu, hampir 4,000 pelajar universiti turut menerima bantuan, menjadikan keseluruhan penerima melebihi 18,000 orang melibatkan golongan asnaf, mahasiswa dan petugas barisan hadapan.
“Bantuan ini merangkumi pelbagai golongan termasuk PPR, frontliners dan mahasiswa.
“Ini membuktikan komitmen menyeluruh dalam memastikan tiada golongan tercicir daripada menerima bantuan.
Mengulas lanjut, Datuk Aizuddin menegaskan bahawa usaha bantuan selepas ini akan memberi penekanan kepada sokongan berterusan serta pendidikan kewangan dalam kalangan masyarakat.
“Cabaran sebenar bermula selepas Ramadan. Kita mahu bantuan ini tidak bersifat sekali sahaja, sebaliknya mampu memberi kesan jangka panjang kepada penerima.
“Kita mahu masyarakat lebih celik kewangan dan mampu mengurus perbelanjaan dengan lebih bijak. Pendekatan jangka panjang amat penting dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa,” ujarnya.
Beliau turut berharap kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi dapat diperkukuhkan bagi membantu rakyat mengurus kewangan dengan lebih berkesan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa.



