BN Mampu Rampas NS Dari PH – Jalaluddin

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) yakin mampu untuk merampas semula Negeri Sembilan daripada Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, rakyat di negeri itu sudah merasai corak pentadbiran kerajaan PH yang didakwa tidak mesra rakyat.

Justeru menurutnya, rakyat Negeri Sembilan mahu melihat semula BN kembali menjadi kerajaan di negeri tersebut.

“Apabila DUN Negeri Sembilan dibubarkan saya yakin BN menguasai kerajaan Negeri Sembilan kerana apa yang telah dilakukan oleh Kerajaan PH terutama ketua-ketua dan wakil mereka di daerah-daerah sudah dirasai dan dilihat oleh majoriti rakyat.

“Bagi kawasan Parlimen Jelebu sahaja, rakyat keseluruhan daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, India, Cina dan Orang Asli sudah melihat perbezaan pengurusan dan pentabiran oleh Kerajaan BN dan kerajaan PH,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya semangat yang diperolehi Barisan Nasional selepas kemenangan parti itu di Melaka dan Johor dalam pilihan raya negeri baru-baru ini.

Mengenai kerjasama BN dengan Pas dalam misi merampas semua Negeri Sembilan daripada PH, Jalauddin berkata, keputusan itu hanya boleh dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Kesemua ini bukan merupakan satu keputusan individu walaupun saya adalah Ahli MKT tetapi tidak adil untuk saya memberikan pandangan dalam bentuk kerjasama ataupun keputusan yang besar.

“Ini harus dibincang dan diputuskan oleh MKT. Saya yakin Datuk Seri Presiden akan membawa perkara penting untuk diputuskan bersama di dalam mesyuarat MKT.

“Biarkan keadaan dan suasana ini berlangsung seperti biasa dan MKT memikul tanggungjawab ini untuk kebaikan parti dan negara,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Serentak itu Jalaluddin mahu UMNO dan BN merampas semula kedua-dua DUN tersebut dan mereka perlu menerima sepenuh hati calon yang akan diumumkan apabila pilihan raya negeri berlangsung.

Parlimen Jelebu mempunyai empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Chennah, Pertang, Sungai Lui dan Klawang. Dua daripadanya iaitu Chennah dan Klawang dimenangi PH pada Pilihan Raya Umum ke-14.