Selepas 99 saksi dipanggil pendakwaan tutup kes Zahid dana Yayasan Akalbudi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan menutup kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi, di
Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Perbicaraan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang melibatkan 12 kes pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram berlangsung selama 53 hari dengan 99 saksi pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai pasukan pendakwaan menutup kes selepas pihaknya menjalankan pemeriksaan semula terhadap saksi terakhir, Khairudin Kilau.

Memetik Astro Awani sebaik menutup kes, pendakwaan menawarkan 37 saksi kepada pihak pembelaan sekiranya dipanggil membela diri.

Antaranya isteri Ahmad Zahid, Datuk Seri Hamidah Khamis, anaknya, Datuk Nurul Hidayah, adiknya, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi serta ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Hakim Collin Lawrence Sequerah memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis sebelum 28 Mei 2021 dan mengemukakan jawapan balas pada 11 Jun ini.

Mahkamah turut menetapkan 28, 29, 30 Jun dan 1 hingga 2 Julai ini untuk kedua-dua pihak berhujah secara lisan sebelum memutuskan sama ada Ahmad Zahid dibebaskan daripada pertuduhan atau diperintahkan untuk membela diri.

Pada 20 Febuari 2019, Presiden UMNO itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap 47 pertuduhan melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan pecah amanan, Ahmad Zahid, 68 tahun, didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di Kuala Lumpur, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya seorang Pegawai Badan Awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membantu syarikat-syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal di bawah kendalian KDN.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Sementara, 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama iaitu boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat