Mahkamah kini gelanggang tegakkan benang basah – Sultan Perak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah ketika ini ramai individu tidak takut melakukan dosa dengan mereka yang melakukan pelbagai jenayah menjadikan mahkamah sebagai gelanggang untuk menegakkan benang basah serta tergamak terus berbohong walaupun telah melafazkan sumpah untuk bercakap benar di kandang saksi.

Menurut baginda, beban kerja di mahkamah dapat diringankan jika lebih ramai individu menghindarkan diri daripada melakukan dosa dan kejadian jenayah menurun.

“Sering terjadi, ketika dihadapkan ke muka pengadilan, insan yang melakukan dosa mencari pelbagai alasan dan menggunakan pelbagai hujah mahu menafikan perbuatan mereka.

“Mereka bersedia membayar fi guaman yang tinggi yang sering kali pula dibiayai daripada wang yang diperoleh melalui sumber jenayah atau hasil daripada perlakuan dosa,” titah baginda pada majlis pengurniaan watikah pelantikan hakim-hakim syariah Perak serta Ahli Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perak (MAIPk) di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di Ipoh.

Memetik Bernama titah baginda, realiti yang berlaku hari ini memberi gambaran bahawa masih ramai umat Islam yang belum menghayati ajaran agama itu sepenuhnya.

Perbuatan jenayah tidak dapat dikurangkan melalui penambahan pegawai penguat kuasa, mahkamah dan penjara, namun lebih berkesan ditangani melalui pendekatan menyemaikan nilai-nilai Islam secara berkesan dan dihayati dalam jiwa, titah Sultan Nazrin.

“Perbuatan menipu, mencuri, menyeludup, pecah amanah, rasuah dan lari daripada membayar cukai merupakan antara perlakuan jenayah terhadap organisasi, syarikat atau kerajaan.

“Perlakuan jenayah-jenayah tersebut turut memberi implikasi perlakuan dosa terhadap pemegang kepentingan entiti-entiti berkaitan, sama ada mereka terdiri daripada pemegang saham, pemilik syarikat atau rakyat sesebuah negara,” titah baginda lagi.-SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat