Isu kalimah Allah: Jakim tunggu perkenan Majlis Raja-Raja untuk tindakan lanjut

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan agensi agama Islam yang lain akan mengambil tindakan selanjutnya berhubung isu penggunaan kalimah Allah selepas mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata pihaknya telah menyerahkan laporan hasil perbincangan antara mufti dan pakar undang-undang seluruh negara yang berlangsung pada Selasa lepas berhubung isu itu kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

“Kita telah mengangkat hal ini kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dan insya-Allah, kita akan tunggu sedikit masa lagi.

“Kita akan uar-uarkan tindakan selanjutnya yang akan diambil,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) di Masjid Negara semalam.

Turut hadir timbalan beliau, Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan ketua-ketua agensi di bawah kendaliannya.

Pada 10 Mac lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab iaitu Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu kepada Mahkamah Rayuan pada 15 Mac lepas.

Ditanya sama ada Jakim akan mengambil sebarang tindakan sebagai menyokong Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia yang membuat rayuan terhadap keputusan itu, Zulkifli berkata ia bergantung kepada keputusan Majlis Raja-Raja selepas meneliti hasil mesyuarat bersama mufti berkenaan.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat