DeepSeek didakwa kongsi data pengguna dengan pemilik TikTok

- Advertisement -

SEOUL- Korea Selatan mendakwa syarikat AI dari China, DeepSeek, berkongsi data pengguna dengan pemilik TikTok, ByteDance, lapor agensi berita Yonhap.

Menurut Suruhanjaya Perlindungan Maklumat Peribadi Korea Selatan (PIPC), siasatan mendapati terdapat komunikasi antara DeepSeek dan ByteDance, namun butiran mengenai jenis data yang dipindahkan serta tahap keterlibatan masih dalam siasatan.

Tindakan segera diambil apabila aplikasi DeepSeek ditarik daripada gedung aplikasi Apple dan Google pada hujung minggu lalu, atas kebimbangan berkaitan perlindungan data pengguna.

Bagaimanapun, pengguna sedia ada masih boleh mengakses perkhidmatan tersebut menerusi pelayar web.

DeepSeek mengejutkan dunia kecerdasan buatan pada Januari lalu apabila mendakwa model AI terbarunya dibangunkan pada kos yang jauh lebih rendah, berbanding pesaing utama dari Amerika Syarikat seperti ChatGPT.

Sejak itu, kebimbangan mengenai keselamatan data semakin meningkat, dengan beberapa negara memberi amaran perlindungan data pengguna mungkin tidak terjamin.

Februari lalu, sebuah syarikat keselamatan siber AS turut mendakwa terdapat kemungkinan perkongsian data antara DeepSeek dan ByteDance.

Isu keselamatan data itu semakin membimbangkan memandangkan China mempunyai undang-undang perisikan yang didakwa membolehkan kerajaan mengakses data daripada mana-mana syarikat tempatan.

ByteDance, yang berpusat di Beijing dan dimiliki oleh beberapa pelabur antarabangsa, sebelum ini menegaskan undang-undang China turut melindungi syarikat persendirian dan data peribadi.

Sebuah syarikat keselamatan siber, Security Scorecard, dalam satu laporan pada 10 Februari mendapati terdapat beberapa rujukan langsung kepada perkhidmatan milik ByteDance dalam aplikasi Android DeepSeek.

Laporan itu menyatakan terdapat integrasi mendalam dengan sistem analitik dan pemantauan prestasi ByteDance, yang berpotensi menyebabkan data pengguna dan metadata peranti dihantar ke pelayan ByteDance.

Selain itu, siasatan turut menemukan pemindahan data ke domain yang dikaitkan dengan entiti milik kerajaan China.

Walaupun DeepSeek memberi kerjasama kepada pihak berkuasa Korea Selatan dan mengakui kelemahan dalam pematuhan undang-undang privasi negara itu, PIPC tetap menggesa pengguna supaya berhati-hati dan mengelakkan daripada memasukkan maklumat peribadi ke dalam chatbot berkenaan.

Seperti beberapa negara lain termasuk Australia dan Taiwan, Korea Selatan turut mengharamkan penggunaan DeepSeek dalam peranti kerajaan bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan data.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat