KUALA LUMPUR- UMNO mengakui memang parti itu menginginkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Selain ingin mendapatkan mandat baru yang lebih teguh, UMNO malah yakin akan menang selesa bahkan optimis dapat ‘membunuh’ parti Bersatu.

Memetik Malaysiakini perkara demikian diberitahu sumber UMNO, hal ini kerana ketika ini kerajaan Johor yang diketuai UMNO memiliki kelebihan satu kerusi sahaja berbanding pembangkang.

“UMNO optimis bahawa kita bukan saja berupaya untuk menang dengan selesa, tetapi ini juga medan terbaik bagi melemahkan Bersatu.

“Jika kita mahu ‘membunuh’ Bersatu di sinilah medannya, kemudiannya pada PRU15,” katanya yang merupakan pemimpin pusat UMNO seperti dilaporkan.

Semalam, Bernama melaporkan, Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad terus mengelak apabila ditanya mengenai kemungkinan PRN akan diadakan selepas sambutan Tahun Baru Cina nanti.

Semasa diajukan mengenai perkara berkenaan, pengerusi UMNO Johor itu hanya tertawa dan menegaskan bahawa sebenarnya apa yang lebih penting adalah justifikasi mengapa pilihan raya itu perlu diadakan.

Bersatu pula melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, memaklumkan parti itu bersedia untuk sebarang kemungkinan jika Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN dalam masa terdekat.

Dalam pada itu seorang lagi sumber UMNO berkata mereka dalam keadaan siap sedia bagi menghadapi PRN Johor dalam masa terdekat ini.

Bagaimanapun parti itu sedang menunggu “restu” berkenaan beberapa perkara sebelum memohon perkenan untuk membubarkan DUN, katanya yang juga pemimpin pusat parti itu.

“Ini adalah masa terbaik untuk Umno, BN menghadapi PRN Johor selepas kemenangan selesa dalam PRN Melaka.

“Dari segi moralnya, lawan kita juga dalam keadaan tidak bersedia untuk menghadapi PRN ini,” katanya lagi.