CBT: Bicara Kes Syed Saddiq 7 Jun, Dilarang Buat Kenyataan Di Media Sosial

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi, melibatkan empat pertuduhan ke atas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, akan bermula 7 Jun ini, manakala pengurusan kes pada 24 Mac ini.

Empat pertuduhan yang dibacakan ke atas Bekas Menteri Belia dan Sukan itu hari ini, melibatkan pecah amanah dan jenayah (CBT), penyalahgunaan dana, dan pengubahan wang haram melibatkan jumlah RM1 juta.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan sewaktu memutuskan perkara itu hari ini berkata, tarikh perbicaraan adalah antara 7 hingga 10 Jun; 20 hingga 22 Jun; 27 hingga 28 Jun; 4 hingga 8 Julai; 13 hingga 15 Julai; dan 18 hingga 22 Julai.

Syed Saddiq diwakili Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, manakala Wan Shaharuddin Wan Ladin bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya.
Dalam pada itu, Mohamed Zaini mengingatkan Syed Saddiq untuk tidak menggunakan kedudukannya sebagai ahli politik dalam membuat sebarang perkongsian berkaitan kes di platform media sosial.

Peringatan itu dibuat susulan hujah Wan Shaharuddin bahawa Syed Saddiq perlu lebih berhati-hati membuat kenyataan mengenai kes terbabit, kerana ia mungkin boleh digunakan terhadapnya sewaktu perbicaraan.

“(Permintaan) ini bukan ‘gag order’ terhadap tertuduh, cuma ada beberapa perkongsian di Facebooknya mengenai kes dan pembelaan beliau. Saya ingin mengingatkan beliau, sebagai seorang yang lebih berusia, dan berpengalaman, kenyataan itu boleh digunakan terhadapnya,” kata Wan Shaharuddin.

Bagaimanapun Gobind memohon sedikit kelonggaran kerana Syed Saddiq merupakan figura politik yang terkenal, dan sudah pasti beliau harus memberi komen atau reaksi sekiranya ada soalan dari pihak lain.

“Beliau (Syed Saddiq) akan diminta menyatakan pendiriannya, masyarakat sudah tentu mahu tahu tentang perincian kes. Saya sentiasa berhujah kelonggaran harus diberikan kepada tertuduh untuk bercakap mengenai pertuduhan.

“Bagaimanapun kami mengambil maklum tentang tarikh sudah pun ditetapkan untuk perbicaraan, dan kami mengambil maklum mengenai (ketetapan) ini,” katanya lagi.
Mohamed Zaini ketika membuat keputusan berkata, Syed Saddiq harus membezakan kedudukannya sebagai ahli politik dan orang kena tuduh, dan Gobind juga harus memberi nasihat yang bersesuaian.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq, didakwa melakukan pecah amanah jenayah sewaktu beliau menjadi Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dengan mengeluarkan wang sebanyak RM1 juta melalui cek CIMB Bank Bhd pada 6 Mac, 2020.

Beliau didakwa mengeluarkan wang tersebut tanpa kebenaran Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu, dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan, di bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahguna wang RM120,000 dari hasil derma di bawah akaun bank Armada Bersatu Enterprise untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 antara 4 hingga 18 April, 2018.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, dan sebatan, di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Dua lagi pertuduhan berkaitan aktiviti pengubahan wang haram, melibatkan dua traksaksi bernilai RM50,000 setiap satu dari akaun bank beliau, yang didakwa dilakukan pada 16 dan 19 Jun, 2018, bagi tujuan aktiviti haram.

-ASTRO AWANI

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,598FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat