KUALA LUMPUR – Sebanyak 98.4 peratus projek pelaburan sama ada sudah siap, sedang dilaksanakan atau dalam perancangan sejak 2021 hingga Mac 2024.
Bagaimanapun, hanya 1.6 peratus sahaja daripada projek pelaburan diluluskan dalam tempoh sam belum dilaksanakan kata, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz Aziz.
“Apabila pelaburan itu diluluskan, ia hanya menunggu masa untuk dilaksanakan. Sangat jarang (berlaku) pelaburan yang diluluskan tidak dilaksanakan.
“Pelaburan diluluskan itu bermaksud permohonan syarikat untuk melabur di Malaysia telah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida),” katanya dalam video yang dimuat naik di Facebooknya.
Dalam penjelasan sekali gus pencerahan itu, Tengku Zafrul menegaskan Memorandum Persefahaman (MoU) tidak boleh dianggap pelaburan diluluskan kerana proses meluluskan pelaburan tidak mudah dan membabitkan keperluan memenuhi aspek ditetapkan, sebelum lesen pengilang dapat diberikan.
“Jika sekadar menghantar MoU, permohonan itu pasti tidak akan diluluskan. Itu sebabnya apabila ada pihak memperlekehkan data pelaburan diluluskan, mereka sebenarnya tidak memahami betapa rumit prosesnya.
“Banyak syarat perlu dipenuhi dan ini menunjukkan keseriusan pihak yang benar-benar mahu melabur di negara kita,” jelas beliau.
Tengku Zafrul juga menyatakan, antara perkara diberi keutamaan ialah permohonan syarikat menjalankan aktiviti perniagaan diluluskan bawah Akta Penyelarasan Perindustrian 1975.
“Jadi, jika syarikat mempunyai dana pemegang saham sekurang-kurangnya RM2.5 juta atau menggaji sekurang-kurangnya 75 pekerja sepenuh masa, syarikat tersebut perlu memohon lesen pengilang terlebih dahulu,” katanya dalam video berkenaan.
Menurut, syarikat perlu menyerahkan maklumat seperti butiran syarikat, industri, lokasi projek, produk dihasilkan, tempoh pelaksanaan projek, kos tahunan dan butiran pemegang saham kepada Mida.
Selain itu, permohonan melabur di Malaysia juga memerlukan maklumat jumlah pekerjaan yang akan diwujudkan, peratusan pekerja dalam kategori pengurusan, teknikal dan pekerja berkemahiran tinggi.
“Kita mahu mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat.
“Jika majoriti pekerja tidak mahir, bagaimana Malaysia hendak maju dalam jangka panjang?” katanya lagi.
Sementara itu, beliau juga menerangkan, aspek penting lain ialah syarikat mahu melabur di Malaysia perlu menyatakan sumber bahan mentah dan komponen digunakan dalam penghasilan produk atau projek masing-masing.
Kata Tengku Zafrul, ini penting kerana kedudukan Malaysia sebagai negara menggalakkan penggunaan komponen dihasilkan secara tempatan, sekali gus membantu syarikat tempatan meningkatkan hasil mereka.
“Ini dapat mewujudkan syarikat baharu bagi memenuhi keperluan kilang ini dan membolehkan ekosistem negara kita berkembang.
“Kita juga ingin mengetahui pasaran produk mereka, sama ada untuk eksport atau kegunaan tempatan.
“Jika untuk eksport, pendapatan negara akan meningkat dan syarikat juga perlu menyatakan unjuran pendapatan mereka,” kata ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu lagi.
Tambah Tengku Zafrul, aspek penting lain ialah penyelidikan dan pembangunan (R&D), iaitu syarikat yang melabur di Malaysia perlu mempunyai elemen itu dalam usaha memastikan teknologi tempatan dapat dibangunkan.