RAUB: Durian Musang King Raub dibida dengan harga RM185,000 sebiji.
Menurut Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal, ia adalah termahal di dunia.
Bidaan telah dilakukan oleh Encik Huang Qi Wen.
“Saya baru sahaja menyaksikan bidaan durian Musang King dari Raub yang termahal di dunia iaitu bernilai RM185,000.00 sebiji.
“Harga permulaan bidaan ini adalah RM2,000 sebiji yang kemudiaannya meningkat beberapa kali sehinggalah mencecah RM185,000 sebiji. Pemenangnya ialah Encik Huang Qi Wen,” katanya menerusi perkongsian Facebooknya, sebentar tadi.
Selain durian Musang King, bidaan durian Duri Hitam (Black Thorn) yang tertinggi bernilai RM15,000 dan secara keseluruhannya, sebanyak RM404,444.00 berjaya dikutip hasil bidaan malam tadi.
“Manakala bidaan tertinggi untuk durian Duri Hitam (Black Thorn) adalah bernilai RM15,000.00 sebiji,
“Sementara itu, Dato’ Ken menyumbang sebanyak RM204,444 melalui program bidaan yang berlangsung di SMK Sg Ruan, Raub, ini.
“Ini bermakna, keseluruhannya, sebanyak RM404,444.00 berjaya dikutip untuk bidaan sebiji Musang King dan sebiji Duri Hitam pada malam ini,” ujar Fadzli lagi.
Hasil bidaan durian ini kemudiannya disumbangkan kepada SMK Sg Ruan bagi penambahbaikan infrastruktur sekolah ini.-SUARATV