Runding terus beli kapal peronda dapat kelulusan Kementerian Kewangan – Ahmad Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, pembekalan enam kapal peronda generasi kedua Littoral Combatant Ship (LCS) dibuat mengikut Garis Panduan Permohonan Perolehan Secara Rundingan Terus.

Merujuk kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh berhubung kegagalan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) membekalkan enam LCS kepada Kementerian Pertahanan, beliau berkata, rundingan terus pula hanya boleh dibuat selepas mendapat kelulusan Kementerian Kewangan, bukannya Menteri Pertahanan.

Katanya, BNS dimiliki Boustead Holdings Berhad (Boustead) dengan pemegang saham terbesar adalah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) milik kerajaan dan pemegang saham kedua terbesar adalah Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) yang juga milik kerajaan.

“Penganugerahan kontrak kepada Boustead adalah mengikut Garis Panduan Permohonan Perolehan Secara Rundingan Terus bertarikh 17 April 2002.

“Ia secara jelas menyebut rundingan terus hanya boleh dibuat setelah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan dan bukannya Menteri Pertahanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengenai isu denda lewat kepada Boustead, Timbalan Presiden UMNO itu berkata, beliau percaya Kementerian Pertahanan sudah memberikan penerangan lanjut berkaitan status isu itu.

“Kementerian juga ada menyatakan bahawa satu surat tuntutan sudah disediakan dan diserahkan kepada ‘Pegawai Pengawal’ untuk kelulusan,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, isu berkenaan hanya timbul tahun lalu ketika beliau tidak lagi menyandang jawatan Menteri Pertahanan yang dilepaskannya pada 2013.

“Segala perkara yang berlaku selepas itu adalah di luar bidang kuasa saya.

“Pembayaran secara berkala kepada Boustead juga setahu saya sudah dibuat pada 2019 ketika saya bukan lagi Menteri Pertahanan.

“Atas dasar ini, saya tidak memiliki sebarang kawalan atau pengetahuan atas sebarang keputusan dibuat kementerian berhubung isu berkenaan,” katanya.

Terdahulu dalam kenyataan media berasingan, Ahmad Zahid memberi jaminan akan memberi sepenuh kerjasama kepada PAC bagi melengkapkan prosiding kegagalan pembekalan LCS.

Katanya, beliau bersedia menjadi saksi sekiranya dipanggil oleh PAC untuk memberikan keterangan.

“Saya sesungguhnya menghormati peranan dan bidang kuasa PAC dalam memastikan kelangsungan struktur kerajaan dan pengurusannya.

“Bagaimanapun, saya percaya PAC seharusnya lebih sensitif dalam mengendalikan keseluruhan proses siasatan, khususnya isu keselamatan negara kerana ia masih di peringkat siasatan,” katanya.

Semalam, PAC dilaporkan akan memanggil Ahmad Zahid pada awal bulan depan bagi melengkapkan prosiding berkenaan.

Kah Woh juga dipetik berkata, bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Abdul Aziz Jaafar serta kontraktor utama projek LCS, BNS akan turut dipanggil pada prosiding itu.

PAC memaklumkan, ia susulan kegagalan pembekalan enam kapal LCS oleh Kementerian Pertahanan yang bukan saja membabitkan kelemahan atau kegagalan segi tadbir urus, perolehan dan kewangan, malah memberi impak terhadap aspek keselamatan serta pertahanan negara.

Isu itu dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1 (Pengauditan Pematuhan Kementerian/Jabatan Persekutuan) serta Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang diterbitkan pada tahun lalu.

Kapal peronda generasi kedua untuk TLDM itu dibina dengan kos kira-kira RM9 bilion.

-BERITA HARIAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat