Oleh Zihan Zari
BANTING – Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meneruskan komitmennya dalam memperkasa masyarakat luar bandar melalui di bawah inisiatif Program Kampung Angkat MADANI (KAM) 2025.
Ketua Pengarahnya, Hanani Sapit berkata pelaksanaan program KAM bukan hanya melibatkan pembangunan fizikal, tetapi juga membina jaringan sosial dan memperkukuh nilai kebersamaan masyarakat.
Program ini juga sebagai sebahagian usaha menyemarakkan semangat MADANI dan memperkukuh hubungan antara kerajaan serta masyarakat akar umbi.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Program Sehari Bersama Kampung Endah: Menghayati Semangat MADANI di di Dewan Jubli Emas, Kampung Endah, dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah-Pengarah Bahagian, Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri serta wakil jabatan dan agensi Persekutuan dan Negeri.
Hanani berkata, JPW komited untuk memastikan manfaat program ini terus dirasai oleh komuniti luar bandar selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.
Menurut beliau, Kampung Endah dipilih sebagai kampung angkat JPW berdasarkan sejarah, keunikan komuniti, dan kesediaan penduduk untuk bersama-sama menjayakan inisiatif pembangunan masyarakat.
Katanya, sebanyak sembilan projek fizikal dan satu program kemasyarakatan sedang dilaksanakan dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM1 juta, dua projek telah siap sepenuhnya manakala selebihnya dijangka selesai akhir Oktober ini.
Antaranya, projek utama menaik taraf telah direalisasikan bagi memberi manfaat terus kepada penduduk, termasuk penambahbaikan surau, perpustakaan awam, sistem siar raya, taman permainan kanak-kanak, pusat pos dan kemudahan di tanah perkuburan Islam.
“Sehingga September tahun ini kemajuan keseluruhan projek telah mencapai 73 peratus (%), menunjukkan pelaksanaan berada pada landasan yang baik dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh yang ditetapkan, ”katanya lagi.
Program sehari ini turut menyajikan pelbagai aktiviti komuniti seperti Festival Makanan Jawa, pertandingan memasak, ekspresi seni kanak-kanak dan tayangan wayang pacak bagi menyemai semangat kekitaan serta memperkukuh jaringan sosial.
Selain itu, perkhidmatan kerajaan turut dibawa ke Kampung Endah melalui penganjuran ceramah psikologi, program bersama ibu tunggal, gotong-royong perdana serta aktiviti mengecat dewan bagi menggalakkan penyertaan aktif komuniti setempat.-SUARA.TV



