KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima peruntukan RM19.5 bilion, menokok sebanyak RM500 juta berbanding tahun sebelumnya.
Hal ini kata Perdana Menteri, maruah dan kedaulatan negara perlu terus terpelihara daripada sebarang ancaman.
Jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim, keharmonian dikecapi selama ini tidak boleh diganggu-gugat begitu juga perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama yang sekian lama terbina perlu dipertahankan.
Justeru pada pembentangan Belanjawan 2025, Anwar merangkap Menteri Kewangan mengumumkan lebih RM 2.12 bilion peruntukan aset khusus untuk PDRM dan agensi beruniform di bawah KDN bagi menjamin keselamatan dalam negeri melalui usaha bersepadu membendung peningkatan kes jenayah selain mengekang anasir permusuhan yang memecah- belahkan rakyat.
“Beberapa pejabat polis baharu dibina tahun hadapan dengan kos RM2.1 bilion ringgit.
“Antaranya melibatkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang; Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju; Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya; dan Balai Polis Tanjung Minyak, Melaka,” katanya di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) pula katanya bakal menerima peruntukan RM21.2 bilion, bertambah RM1.4 bilion.
“Kerajaan akan terus memastikan kesiagaan penuh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan RM 5.8 bilion dikhususkan untuk kerja-kerja senggara dan pembaikan serta perolehan aset-aset ketenteraan baharu.
“Bagi memanfaatkan kontrak senggara, program baharu PROTEGE – Veteran akan diperkenalkan khusus untuk mewajibkan kontraktor menyediakan peluang pekerjaan untuk veteran ATM, terutamanya yang punyai kelayakan TVET.
“Tumpuan khusus juga diberikan untuk membangunkan industri ketenteraan tempatan melalui pemindahan teknologi daripada pembekal aset ketenteraan dan menggalakkan pemain industri tempatan menembusi pasaran eksport.
“Sebagai contoh, syarikat tempatan Aerodyne yang muncul sebagai penyedia perkhidmatan dron utama dunia wajar disokong untuk mengeksport aplikasi keselamatan kawalan sempadan,” jelas Anwar.