KUALA LUMPUR – Belanjawan 2025 meningkatkan peruntukan Felda, Felcra dan Risda kepada RM2.6 bilion ringgit berbanding RM2.4 bilion tahun 2024.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi memperkukuh sektor sawit negara justeru kerajaan bercadang menaikkan nilai ambang kenaan levi
keuntungan luar biasa ke atas buah kelapa sawit bagi Semenanjung Malaysia kepada RM3,150 , manakala bagi Sabah dan Sarawak kepada RM3,650.
“Manakala, struktur julat harga pasaran dan kadar duti eksport minyak sawit mentah disemak semula mulai 1 November 2024.
“Layanan semasa bagi eksport minyak sawit mentah dari Sabah dan Sarawak juga akan dikekalkan.
“Insentif galakan kepada pekebun kecil menanam semula sawit juga diteruskan bagi menggantikan sawit tua yang tidak lagi produktif dengan peruntukan RM100 juta,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Dalam pada itu Anwar berkata, Malaysia sebagai antara pengeluar minyak sawit terbesar dunia punyai potensi menghasilkan bahan api penerbangan mampan
(SAF) daripada sisa kilang kelapa sawit.
“Petronas akan menjalin kerjasama dengan SD Guthrie dan FGV Holdings Berhad bagi penghasilan SAF daripada sisa kilang kelapa sawit.
“Kerajaan telah menyediakan galakan cukai automasi sektor perkilangan, perkhidmatan, pertanian dan sektor komoditi dalam bentuk Elaun Modal Dipercepatkan dalam tempoh 1 tahun serta pengecualian cukai pendapatan ke atas perbelanjaan modal yang sama.
“Melalui galakan cukai ini, syarikat dapat mengadaptasi teknologi yang lebih maju seperti dron dan AI dalam operasi perladangan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing,” ujarnya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, komitmen mempertahan industri sawit diperhebat bagi menangkis salah tanggap Eropah dan meningkatkan tahap kelestarian sawit dengan peruntukan RM65 juta.
“Terkait perusahaan getah -program Galakan Pengeluaran Lateks Pekebun Kecil di bawah Risda akan dilaksanakan secara geran padanan RM60 juta. Ini sebagai galakan pekebun kecil getah menghasil getah lateks bagi memenuhi keperluan industri.
“Ladang-ladang getah milik persendirian yang terbiar akan diusahakan semula dengan peruntukan RM20 ringgit.
“Ikhtiar ini dilaksanakan melalui pendekatan pajakan tanah, iaitu tanah terbiar akan dipajak untuk diusahakan semula dan keuntungan
dibahagikan mengikut persetujuan antara pekebun kecil, agensi pelaksana serta pemilik tanah.
“Serangan perosak seperti kulat pestalotiopsis, ulat bungkus dan kulapuk jelaga menyebabkan kerugian jutaan ringgit. RM10 juta bagi melaksanakan mitigasi dan kawalan penyakit agar tidak terus merebak,” katanya.