KUALA LUMPUR — Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyambut baik dan menghargai peruntukan Belanjawan 2025 berjumlah RM11.96 bilion kepada KKDW.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM405.27 juta atau 3.51% berbanding tahun 2024.
“Jumlah ini merangkumi RM4.47 bilion peruntukan mengurus (peningkatan sebanyak RM350.06 juta bersamaan 8.51%) dan juga RM7.49 bilion peruntukan pembangunan (peningkatan sebanyak RM55.21 juta atau 0.74%).
“Peruntukan yang diberikan ini menunjukkan komitmen tinggi Kerajaan dalam melaksanakan agenda pembangunan luar bandar yang akan memberi manfaat kepada 8.1 juta penduduk desa,” katanya dalam sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2025 di Parlimen hari ini.
Beliau berkata menerusi peruntukan yang diterima ini akan dapat menjamin kesinambungan projek sedia ada dan juga meningkatkan pelaksanaan projek pembangunan di desa.
“Ini termasuk di kawasan pedalaman, bukan sahaja dari segi infrastruktur tetapi juga dari segi ekonomi, modal insan, sahsiah dan spiritual.
“Peruntukan ini juga dapat menyokong usaha berterusan KKDW untuk mewujudkan persekitaran kehidupan luar bandar yangsejahtera dan makmur seperti yang digariskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030,” katanya.
Zahid berkata, dalam usaha merapatkan jurang pembangunan bandar-luar bandar, KKDW telah menerima peruntukan sebanyak RM2.9 bilion bagi pembangunan dan menaiktaraf infrastruktur asas di luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.8 bilion diperuntukkan untuk Jalan Luar Bandar dan Jalan Perhubungan Desa melibatkan projek membina dan menaik taraf jalan di kampung dan desa termasuk di Kota Belud, Sabah; Pasir Putih, Kelantan dan Kuala Lipis, Pahang.
“Projek bina dan menaiktaraf jambatan uzur serta pemasangan dan selenggara Lampu Jalan Kampung diteruskan melibatkan peruntukan lebih RM350 juta.
“Manakala hampir RM500 juta disediakan untuk projek Bekalan Air Luar Bandar dan Bekalan Elektrik Luar Bandar di Sabah dan Sarawak meliputi 5,150 buah rumah,” katanya.