Program pupuk cinta Rasulullah di TV3

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketibaan tarikh 12 Rabiulawal saban tahun menjadi detik bermakna kepada seluruh umat Islam untuk memperingati nikmat terbesar perutusan Nabi Muhammad SAW iaitu penyebaran risalah Islam.

Bagi menzahirkan kesyukuran atas perutusan Nabi Muhammad SAW, umat Islam bertanggungjawab mempertahankan syiar agama, memelihara akidah, iman dan mengamalkan akhlak terpuji seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah sepanjang hayat baginda dalam kehidupan.

Sempena sambutan Maulidur Rasul diraikan esok, TV3 bakal menghidangkan pelbagai program menarik khas buat penonton setia.

Pelbagai genre program terbitan TV3 seperti Tanyalah Ustaz, Majalah 3, Malaysia Hari Ini (MHI), Wanita Hari Ini (WHI) akan berkongsi topik istimewa sempena sambutan Maulidur Rasul.

Tidak ketinggalan dokumentari istimewa, Pembawa Rahmat dan dua telefilem khas, Maulidur Datang Lagi dan Mencari Siratul Mustaqeem.

Sambutan Maulidur Rasul disambut sehari lebih awal di TV3 bermula dengan Majalah 3, hari ini, jam 9 malam dengan dua paparan kisah menarik iaitu Pemahat Tanda Pusara yang mengisahkan pengukir batu nesan untuk tanah perkuburan Islam.

Uniknya, insan berbangsa Cina itu mahir dalam tulisan Jawi. Kuah Leong Chuan adalah generasi ketiga pewaris perusahaan keluarga yang menggunakan batu sungai untuk membentuk batu nesan secara tradisional.

Pada usianya semakin lanjut, beliau gusar legasi sebagai pewaris seni pemahat pusara tiada penyambung.

Kisah seterusnya, dokumentari khas, Diari Udey Dan Hagia. Ia mengisahkan pengorbanan ayah, Udey Ismail terhadap anaknya, Hagia. Dikurniakan anak istimewa menghidap autisme banyak mengajar Udey mengenai kesabaran ujian Allah.

Namun, kasih sayang terhadap Hagia membuatkannya mengambil keputusan mengorbankan minat dan kerjaya dalam bidang fotografi serta pemandu pelancong.

Baginya, didikan dan perhatian lebih penting buat Hagia daripada segala-galanya. Walaupun sukar menerima kenyataan keadaan anaknya, namun kehadiran anak kedua, Indra lebih memberi cabaran dan menjentik hati.

Selain pengorbanan, kasih sayang dan kesabaran yang ingin ditonjolkan menerusi dokumentari khas itu adalah kepentingan didikan ibu bapa terhadap anak mengikut tatacara sunnah Rasulullah seperti mengenal Allah, selain memperkenalkan terapi berlari di hutan bagi mendekatkan Hagia dengan alam dan pencipta.

Ini diikuti drama Maulidur Rasul Datang Lagi, jam 10 malam. Drama yang dibintangi Ropie, Nafiz Muaz, Eyka Farhana, Razak Ahmad, Aleza Shadan, Erul Samah dan Johan As’ari ini mengisahkan seorang lelaki berumur 22 tahun bernama Adam yang ingin berubah dari gangster kepada anak yang baik.

Perubahan Adam berlaku apabila berjumpa Felora yang membantunya ketika teruk dibelasah oleh sekumpulan gangster. Felora mengajak Adam memasuki pertandingan nasyid anjurannya.

Rakan gangster Adam mentertawakan kerana menganggap gangster tidak boleh bernasyid. Mereka terkejut mengetahui pertandingan nasyid itu menjanjikan hadiah wang tunai.

Adam mulai menyedari cara kehidupannya salah dan cuba berubah. Pelbagai cabaran dihadapi Adam. Bagaimanakah kesudahan Adam dan rakan gangster?

Program Tanyalah Ustaz Istimewa Maulidur Rasul akan membawa topik bermanfaat iaitu Al-Quran, Mukjizat Rasulullah SAW pada Selasa, jam 6.30 pagi.

Tanyalah Ustaz dibawakan oleh Da’i Hadhari selaku moderator di samping panel istimewa seperti Profesor Madya Dr Mohd Farid Ravi Abdullah dan penampilan khas, kumpulan UNIC.

Topik kali ini mengupaskan tujuan diutusnya rasul dalam menyampaikan risalah. Dengan diutusnya rasul, manusia mengetahui hal yang diperintah dan dilarang Allah. Rasul dan nabi membawa risalah tertentu yang berbeza, tetapi mereka menyampaikan perkara sama. Nabi Muhammad diberi al-Quran sebagai mukjizat untuk menyampaikan panduan kepada seluruh umat Islam.

Seterusnya, telefilem Mencari Siratul Mustaqeem pula akan menemui penonton, jam 2 petang. Ia dibintangi Fauziah Nawi, Fasha Sandha, Elisha Sandha, Aidil Aziz, Syafie Naswip dan Fadilah Mansor.

 

Fasha bergandingan dengan adiknya, Elisha dalam telefilem Mencari Siratul Mustaqeem. - Foto Ihsan TV3
Fasha bergandingan dengan adiknya, Elisha dalam telefilem Mencari Siratul Mustaqeem. – Foto Ihsan TV3

 

Telefilem menyayat hati itu memberi pengajaran dan nilai murni mengisahkan Hadijah yang mahu hidup bahagia bersama anak dan cucunya.

Tiada apa lagi dipinta, tetapi hanyalah kebahagiaan keluarga. Dia juga mahu menumpukan perhatian kepada ibadah dan mencari Siratul Mustaqeem.

Namun, ujian melanda Hadijah apabila anak-anaknya bertugas berjauhan dan hanya sesekali dapat pulang.

Lebih teruk, apabila pandemik COVID-19 melanda Malaysia dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Anak-anaknya yang bertugas sebagai petugas barisan hadapan tidak dapat balik dan Hadijah dicengkam kesepian.

Ditambah hasutan jiran, Senah yang menyakitkan hati dan membandingkan anak Hadijah dengan anak-anaknya yang kaya dan dapat hidup bersama.

Dokumentari Pembawa Rahmat akan membawa penonton menyusuri kehidupan penggali kubur, penjaga gajah dan ibu tunggal yang berdepan cabaran dalam hidup ketika pada era pandemik.

Penggali kubur, Hilmi Fakimin, seorang tukang masak kini mengabdikan diri dengan berkhidmat kepada masyarakat dalam menyempurnakan perjalanan terakhir seorang mukmin di muka bumi di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak.

Ketika pandemik, Hilmi bekerja sehingga lewat malam kerana banyak jenazah COVID-19 perlu disemadikan.

Begitu juga Zulkiflie Mohd Ghazali, penjaga gajah yang terus memikul tanggungjawab menjaga kebajikan gajah meskipun zoo tidak dapat beroperasi hampir dua tahun.

Sikap sayangkan haiwan sudah tersemat dalam jiwanya. Dia menganggap gajah seperti sebahagian keluarga terutama Jaya, gajah berusia 30 tahun yang pernah menyelamatkan nyawa, suatu ketika dahulu.

Turut dimuatkan ialah kisah Masjida Yanti Nasution dan empat cahaya mata remaja yang pernah hidup sebagai geladangan kerana terpaksa keluar dari rumah selepas berlaku perceraian pada 2017.

Hilang arah tujuan, Masjida Yanti berjaya bangkit dua tahun kemudian dan kini hidup lebih selesa bersama anak-anak.

Paling menggembirakan, mereka berjaya dalam pelajaran.

Untuk mendapatkan info terkini mengenai program menarik di TV3, boleh melayari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat