KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong tindakan Kerajaan Malaysia melalui Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), yang menyita kontena kargo ketenteraan rejim Israel di Pelabuhan Tanjung Pelepas sebagai bukti ketegasan menolak sebarang persekongkolan dan bantuan logistik kepada kezaliman Zionis.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan menyatakan, tindakan ini selari dengan kewajipan agama serta prinsip Maqasid Syariah (Hifz an-Nafs) bagi memelihara nyawa dan memastikan kedaulatan tanah air tidak dieksploitasi oleh rejim haram.
“Justeru, pihak JPM (Hal Ehwal Agama) menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menyokong penuh ketegasan kerajaan yang tidak berganjak daripada solidariti bersama Palestin.
“Sebarang usaha meloloskan kargo sokongan ketenteraan kepada Israel akan ditentang. Semoga Allah memelihara perjuangan pembebasan Palestin sehingga kemenangan hakiki tercapai,” ucap Zulkifli dalam kenyataan media pada Jumaat.
Ogos lalu, AKPS bertindak menyita sebuah kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor, yang disyaki membawa dagangan untuk dieksport ke Israel.
AKPS memaklumkan. kontena itu ditahan dan diperiksa, semalam susulan maklumat risikan yang diterima.
Menurutnya, semakan awal mendapati penghantaran berkenaan disyaki tidak mematuhi Item No 15, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023.
“Peruntukan itu melarang pengeksportan barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel, selaras dengan dasar dan ketetapan Kerajaan Malaysia.
“AKPS akan menjalankan siasatan lanjut bersama pihak berkuasa dan agensi berkaitan bagi mengesahkan sifat, spesifikasi, kegunaan serta klasifikasi barangan berkenaan,” katanya.
AKPS berkata, siasatan turut akan menentukan sama ada barangan dalam kontena itu adalah barangan strategik yang tertakluk kepada kawalan mengikut Akta Perdagangan Strategik 2010 dan perundangan subsidiari berkaitan.
“Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang melanggar dasar, sekatan dan perundangan negara berkaitan Israel.
“Pendirian kerajaan dalam perkara ini adalah jelas dan konsisten. Sebarang percubaan mengeksport barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel yang bertentangan dengan undang-undang dan ketetapan kerajaan akan diambil tindakan tegas,” katanya.



