DAP mesyuarat esok putuskan pendirian, tindakan selepas Najib dapat tahanan rumah – Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP akan bermesyuarat esok untuk membincang dan memutuskan pendirian dan tindakan susulan parti berhubung keputusan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, DAP sejak awal konsisten menuntut keadilan dan akauntabiliti dalam skandal 1MDB.

“Kami memperjuangkan supaya penyelewengan ini disiasat secara menyeluruh dan mereka yang bertanggungjawab dibawa untuk melalui proses undang-undang yang bebas dan adil.

“Kami juga tidak melupakan bahawa kemarahan rakyat terhadap skandal 1MDB merupakan antara faktor utama yang membawa kepada perubahan kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018. Amanah rakyat untuk menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa akan terus menjadi pegangan DAP.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, telah menyampaikan pendirian dan pandangan yang selaras dengan prinsip perjuangan DAP ketika menjalankan tanggungjawab beliau sebagai anggota Lembaga Pengampunan. Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh beliau, pandangan tersebut disampaikan secara jujur dan berterus terang demi kepentingan negara.

“Pada masa yang sama, DAP menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. DAP sentiasa menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan dan Keluhuran Perlembagaan, di samping mempertahankan kedaulatan undang-undang serta perjuangan menentang rasuah.

“Sehubungan itu, satu mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP akan diadakan esok untuk membincang dan memutuskan pendirian dan tindakan susulan parti,” kata Loke.

Menurut Ahli Parlimen Seremban itu, skandal penyelewengan 1MDB merupakan skandal rasuah yang terbesar dalam sejarah negara kita.

“Skandal ini telah mengaitkan nama Malaysia dengan kleptokrasi di mata dunia, mencemarkan imej negara serta menghakis kepercayaan rakyat dan pelabur terhadap institusi pentadbiran negara.

“Sabitan terhadap Najib Razak dalam kes melibatkan 1MDB merupakan kesalahan yang telah diputuskan oleh mahkamah serta kesannya terhadap negara tidak boleh dilupakan.

“Kesan kewangan penyelewengan tersebut masih ditanggung oleh negara dan rakyat sehingga hari ini. Menurut kenyataan Kementerian Kewangan pada 13 September 2026, keseluruhan obligasi 1MDB yang ditanggung kerajaan berjumlah RM51.4 bilion, merangkumi RM42.5 bilion yang telah dibayar oleh kerajaan serta baki hutang RM8.9 bilion,” jelas beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat