726 pelajar PSIS terima bimbingan 28 mentor industri, perkasa kesiapsiagaan ke alam pekerjaan

Oleh Zihan Zari

SABAK BERNAM – Seramai 726 pelajar semester akhir Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) sedang menerima bimbingan daripada 28 mentor industri menerusi PSIS-PNHB Industry Excellence Mentorship Programme, bermula pada 14 September hingga 9 Oktober ini.

Program ini merupakan satu inisiatif strategik bagi memperkukuh kesiapsiagaan pelajar menghadapi alam pekerjaan kelak.

PSIS dalam kenyataan berkata, program yang julung-julung kali dilaksanakan ini merupakan hasil kerjasama PSIS dan Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) yang telah dilancarkan oleh Pengerusi Emeritus dan Penasihat Kehormat PNHB, Tan Sri Dato’ Dr. Rozali Ismail di Dewan Seri Lang, PSIS dekat sini pada Isnin.

Turut hadir, Pengarah PSIS, Haslinda Abd Hamid; Timbalan Pengarah Unit Pembangunan Profesional, Bahagian Kompetensi dan Peningkatan Kerjaya Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti (JPPKK), Roszita Shamsuddin; dan Jawatankuasa Penasihat Industri PSIS.

“Dr. Rozali yang juga Penasihat Jawatankuasa Penasihat Industri PSIS turut memainkan peranan sebagai Chief Mentor dengan berkongsi pengalaman, pandangan dan inspirasi kepada para pelajar, ”kata kenyataan itu.

Katanya, PSIS-PNHB Industry Excellence Mentorship Programme merupakan platform yang menghubungkan pelajar secara langsung dengan golongan profesional industri bagi memperoleh pendedahan terhadap realiti dunia pekerjaan, pembangunan kerjaya, budaya kerja serta kompetensi yang diperlukan dalam persekitaran pekerjaan sebenar.

“Para pelajar yang mengikuti program itu yang akan berlangsung selama empat minggu akan dibahagikan kepada 13 kelas dan dibimbing oleh 28 mentor industri.

“Sesi Meet and Greet antara mentor dan mentee turut berlangsung pada hari pelancaran sebagai langkah awal membina hubungan serta komunikasi profesional, ”katanya lagi.

Ujarnya, melalui pendekatan mentorship, pelajar berpeluang mendapatkan pandangan secara langsung daripada profesional industri berkaitan keperluan sebenar majikan, budaya kerja, etika profesional, komunikasi, pembangunan kerjaya dan kemahiran yang diperlukan untuk kekal relevan dalam pasaran pekerjaan.

Interaksi ini turut membantu membina keyakinan diri, memperluas jaringan profesional serta memahami cabaran dan peluang dalam dunia pekerjaan sebenar.

“Kerjasama strategik PSIS dan PNHB ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam merapatkan jurang antara pendidikan dan industri dalam memperkukuh pembangunan bakat, hubungan strategik dengan industri serta kesiapsiagaan graduan menghadapi keperluan pasaran pekerjaan.

“Penganjuran program ini turut memperkukuh peranan PSIS sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten dari segi teknikal, malah memiliki kemahiran insaniah, profesionalisme, daya saing dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan industri, ”ujarnya lagi.

Untuk rekod, PSIS merupa­kan institusi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang terbuka kepada individu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memenuhi syarat-syarat tertentu.

Pengambilannya terbuka kepada semua tanpa peringkat umur yang menawarkan 10 program Diploma dan 1 program Asasi Teknologi Kejuruteraan berdasarkan permintaan industri keperluan semasa. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat