KUALA LUMPUR, 14 SEPTEMBER 2023 – Penyanyi berusia 24 tahun ini memulakan kerjaya nyanyian di negara kelahirannya, Brunei. Namun, namanya mula menjadi sebutan di sini selepas terbabit dalam program realiti, Big Stage musim keempat, tahun lalu.
Biarpun tidak bergelar finalis, Syafiq atau nama sebenarnya Mohammad Syafiq Abdilah Soony berjaya membuka mata peminat muzik tanah air akan bakat dimiliki. Dari satu sudut lain, Syafiq antara bintang baharu yang wajar diberikan perhatian.
Selepas muncul dengan single Kekal sekitar Mac lalu, Syafiq tidak menunggu lama untuk menghadiahkan buah tangan terbaharu berjudul Suara Hidup.
Menurut Syafiq, lagu hasil nukilan Navigator dan Pique yang sudah dicipta sejak 2020 itu membawakan ‘vibe’ baharu dan berbeza dengan single sebelumnya.
Syafiq Abdilah, penyanyi lagu ini menerangkan bahawa, Suara Hidup adalah lagu yang sangat berbeza daripada Kekal. Mesej yang ingin disampaikan dalam lagu ini adalah betapa pentingnya seseorang itu dalam hidup kita. Lagu ini juga membawa ‘vibe’ yang baharu kerana ia diinspirasikan daripada lagu balada Korea dan OST K-Drama.
Seperti lagu Kekal, Syafiq tidak terbabit dalam poses penulisan lagu Suara Hidup. Sebenarnya, lagu ini mula dicipta pada 2020 dan pertama kali mendengar demo lagu ini pada tahun itu juga. Pada masa itu hanya bahagian korus yang sudah ditulis dan tahun lalu barulah Pique menyiapkan lagu ini bersama Navigator.
Berkongsi lanjut, Syafiq berkata proses rakaman lagu itu mengambil masa yang panjang kerana perlu memberikan sepenuh emosi. Bagi Syafiq, lagu ini mengambil masa yang begitu panjang untuk dirakam. Ia kerana sukar untuk dia menyampaikannya dengan penuh emosi yang sesuai dengan lagu Suara Hidup ini.
Syafiq juga ingin mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada Banni Basyishar yang turut membantu semasa proses rakaman. Tidak melupakan Mike Chan yang membantu memilih ‘take vocal’ yang paling sesuai untuk lagu ini.
Mengenai video muzik (MV) lagu Suara Hidup, menurut Syafiq jalan ceritanya adalah kesinambungan daripada lagu Kekal.
MV Suara hidup adalah kesinambungan daripada MV Kekal yang menceritakan perjalanan kisah cinta pasangan yang diwatakkan oleh Hakim Parker dan Sara Mack Lubis. Pada penghujung MV Kekal, ia diakhiri dengan ‘clif hanger’ apabila watak Hakim melintasi Sara seperti tidak pernah berkenalan sama sekali. Jadi, menerusi MV Suara Hidup ini akan terangkan dan menjawab segala persoalan semua yang sudah menonton MV Kekal.
Syafiq menerangkan bahawa, MV Suara Hidup ini membabitkan pasukan sama yang menjayakan MV Kekal iaitu pengarah adalah Harith Zazman dan pengarah fotografi adalah Asyrafiqal. Tidak ketinggalan Hakim dan Sara turut serta untuk menyampaikan cerita MV ini. MV Suara Hidup dirakam serentak bersama rakaman MV Kekal pada awal tahun ini dan mengambil masa dua hari di beberapa lokasi yang terpilih.
Dalam pada itu, Syafiq mengakui terdapat cabaran yang perlu dilalui sepanjang proses menghasilkan lagu dan MV. Cabaran tersebut terdapat dalam proses menyiapkan lagu ini adalah semasa proses rakaman. Ini kerana ia adalah lagu ‘slow ballad’ pertama yang Syafiq rakamkan dan lagu ini perlu disampaikan dengan penuh emosi.
Syafiq jelaskan bahawa, bagi rakaman vokal sahaja kami mengadakan lebih daripada empat sesi dan lebih dari lima versi lagu ini. Tetapi, alhamdulillah, proses rakaman MV semuanya berjalan dengan lancar.
Syafiq berharap semua pendengar akan suka dan juga boleh ‘relate’ dengan lagu Suara Hidup.
Suara Hidup merupakan projek JV antara Universal Music Malaysia dan 1212.
Suara Hidup boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Deezer dan YouTube Music, sementara video muziknya boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.