Video Zara dimasukkan dalam mesin basuh hanya content – Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR – Guru Bahasa Inggeris yang memuat naik video mendakwa kononnya Zara Qairina Mahathir, 13, dimasukkan ke dalam mesin basuh, akhirnya mengaku perbuatan itu hanyalah sekadar ‘content’.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, guru terbabit ditahan polis baru-baru ini dan ketika disoal siasat, dia sendiri mengakui tidak mempunyai sebarang bukti, sebaliknya hanya mahu menarik perhatian di media sosial.

Saifuddin berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu amat dikesali kerana berjaya mempengaruhi sebahagian rakyat Malaysia sedangkan fakta yang dikemukakan adalah palsu.

“Guru itu ditahan dan akan dituduh jika mendapat persetujuan Jabatan Peguam Negara (AGC). Kita tolak sentimen politik, spekulasi atau dakwaan jahat.

“Bila kita soal siasat, jawabnya hanya hendak buat content sahaja. Tetapi cara susunan ayatnya seolah-olah itu punca kematian Zara. Akhirnya perkara itu ditelan bulat-bulat oleh sebahagian masyarakat, di dalam dan luar dewan,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Menurut Saifuddin, keadilan hanya boleh ditegakkan berasaskan fakta dan proses undang-undang yang sah, bukannya bersandar kepada emosi mahupun tuduhan rambang.

Mengulas lanjut, beliau memberi contoh video tular yang mendakwa Zara Qairina mati akibat didera dengan dimasukkan ke dalam mesin basuh, yang jelas merupakan bentuk fitnah serta cubaan mencetuskan sentimen.

Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolah pada jam 3 pagi, 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia sehari selepas itu.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat