Konsert jejak evolusi irama rock

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Berpegang objektif menjejak revolusi irama rock sejak era 1980-an dengan slogan ‘rock never dies’ (rock takkan mati), Konsert Rock On 40: The Legends bakal memberi penghormatan tertinggi kepada legenda rock negara sejak empat dekad lalu.

Menampilkan empat legenda rock iaitu Datuk Awie, Ella, Muss May dan gitaris ‘otai’, Man Kidal, konsert yang bakal menggegarkan Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Disember depan, menjadi manifestasi kepada keunggulan dan sumbangan besar genre rock dalam katalog muzik tempatan.

Teruja beraksi dengan tiga bintang rock lain, vokalis Wings, Awie mahu mengambil kesempatan mengisi persembahan dengan sumbangan yang lebih bermakna kepada komuniti rock.

“Saya mahu suarakan input dan idea lagu yang bakal dipersembahkan tidak hanya terbatas kepada lagu sendiri.

“Kenapa tidak diberi ‘tribute’ (penghormatan) kepada legenda rock lain? Sebagai contoh, Sweet Charity, Search, Lefthanded dan sebagainya.

“Jadi usaha meraikan kembara rock ini tentunya lebih bermakna jika ada ‘tribute’ kepada otai rock lain,” katanya pada sidang media mempromosikan Konsert Rock On 40: The Legends di Hard Rock Cafe di ibu negara, kelmarin.

Awie berbangga inisiatif diambil penganjur sedikit sebanyak membuktikan istilah atau tagline ‘rock never dies’ (rock takkan mati) terus relevan.

“Kita lihat konsert demi konsert dianjurkan sejak negara dalam fasa peralihan endemik. Malah, tiket ‘laku keras’.

“Semoga konsert ini dipermudahkan dan terus menyemarakkan semangat peminat yang meminati rock sejak lama dahulu,” katanya.

Konsert Rock On 40: The Legends yang dianggarkan pada kos RM500,000 direalisasikan Menara Network Sdn Bhd (MNSB) dan mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Konsert itu bakal dipentaskan dua hari mulai 2 Disember depan.

Muss atau nama sebenar, Mustaffa Din menjangka bakal mendendangkan antara empat hingga lima lagu secara solo dalam konsert itu.

“Saya tidak canggung kerana pernah bekerjasama dengan Awie, Ella dan Man Kidal. Cuma, apa yang berbeza, persembahan ini bukan dengan band yang beri dinamik sendiri.

“Saya sudah membuat persiapan fizikal seperti joging demi mendapatkan stamina. Cuma, apabila sudah berusia, persiapan tidaklah seperti 10 atau 20 tahun lalu.

“Akhirnya, semuanya dibantu pengalaman dan kuasa Tuhan,” katanya.

 

Pasukan dan barisan artis yang bakal beraksi dalam Konsert Rock On 40: The Legends di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Disember depan. - NSTP/Hairul Anuar Abd Rahim
Pasukan dan barisan artis yang bakal beraksi dalam Konsert Rock On 40: The Legends di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Disember depan. – NSTP/Hairul Anuar Abd Rahim

 

Muss yang sudah bergerak solo tanpa band May sejak awal 2019, bersyukur diberi nikmat vokal yang masih baik.

“Ada situasi mutu suaranya, contohnya, berlaku atau berubah secara automatik.

“Sebagai penyanyi dan penghibur, semua itu mengikut keadaan. Ada lagu yang perlu kekalkan ‘key’ asal. Ada lagu yang perlu ditambah baik ikut keupayaan semasa,” katanya.

Sementara itu, Man Kidal berkata, gambaran persembahan yang bakal dipertontonkan sudah ada.

“Tidak semestinya kita memainkan lagu sendiri sahaja. Susunan lagu untuk konsert pasti ditukar. Saya tidak akan persembahkan aksi sama,” katanya.

Wakil penganjur Konsert Rock On 40: The Legends, Aman Ali, Awie, Ella, Muss dan Man Kidal dipilih kerana mereka dianggap signifikan dalam kembara dan perkembangan genre rock tempatan sejak empat dekad lalu.

“Masing-masing ada kelompok peminat dan mencetuskan evolusi rock pada era mereka. Apa yang istimewa, persembahan ini diiringi susunan muzik Ritz Metalasia,” katanya.

Aman berkata, setiap artis bakal mempersembahkan lagu hit.

“Konsert ini bersifat sambutan ulang tahun genre rock yang selama ini menjadi antara nuansa hiburan rakyat Malaysia,” katanya.

Aman berkata, penganjur melakukan penambahbaikan terhadap kemudahan yang disediakan di IB seperti sistem bunyi bagi memantapkan lagi konsert berkenaan.

Tambahnya, tiket konsert mula ‘disambar’ peminat termasuk kelab penyokong Wings dan Awie, Sayap-Sayap Wings yang mula membeli tiket menyaksikan idola mereka membuat persembahan di pentas IB.

Maklumat Konsert Rock On 40: The Legends termasuk pembelian tiket ikuti Instagram (IG) @menaranetwork. Tiket berharga RM288 hingga RM888.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat