Anwar sedia jumpa pemimpin Umno bincang, beri penjelasan Titah Addendum

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia bertemu dan mengadakan perbincangan dengan kepimpinan Umno berhubung Titah Addendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Presiden dan Timbalan Presiden Umno.

“Saya sedia untuk mengadakan perbincangan dan memberi penjelasan sekiranya perlu atau melakukan apa yang baik untuk menjaga keharmonian,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan Solat Jumaat di Surau Al-Istiqlal, Presint 14, di Putrajaya, lapor Utusan.

Katanya, pihaknya sedia maklum mengenai desakan ramai dan Ketua Bahagian Umno yang membangkitkan isu Titah Addendum itu supaya titah itu dilaksanakan segera.

Bagaimanapun, Anwar menjelaskan perkara itu telah dirujuk serta masih dalam urusan mahkamah.

“Hal ini masih dan telah dirujuk kepada mahkamah. Saya tidak boleh mendahului mahkamah dalam hal ini,” katanya lapor akhbar itu.

Semalam, seramai 145 Ketua Umno Bahagian seluruh negara, termasuk dari Sabah, mendesak supaya Perdana Menteri segera mengambil tanggungjawab penuh melaksanakan Titah Addendum bagi membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.

Mereka menegaskan ia sebagaimana diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16, sekali gus tiada lagi alasan untuk melengah-lengahkan pelaksanaannya.

Minggu lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dilapor tidak mempertikaikan kewujudan Titah Addendum dikatakan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Sebaliknya, AGC mempertikaikan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman Najib di Mahkamah Tinggi.

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat