Ayish Malkan, nama yang mula dikenali menerusi platform TikTok, kini muncul dengan single baharu yang berjudul “Cinta Di Cintai”. Lagu balada ini tidak hanya menampilkan bakat vokalnya yang unik tetapi juga menggambarkan perjalanan yang menarik dalam industri muzik Malaysia.
Ayish, seorang anak kelahiran Kuantan, Pahang, mula meraih perhatian menerusi video viralnya di TikTok. Video yang menampilkan dia menyanyikan lagu Ziana Zain semasa acara jelajah stesen radio telah menjadi pemicu popularitinya. Respons yang luar biasa daripada peminat membawa Ayish ke pelbagai program hiburan televisyen, termasuk sebagai tetamu jemputan di program Meletop.
“Saya hanya hadir sebagai penonton di acara tersebut. Tiba-tiba dipanggil untuk naik pentas dan menyanyikan lagu Ziana Zain. Tidak disangka, video itu menjadi viral dan membuka peluang baru dalam hidup saya,” kata Ayish.
Single terbarunya, “Cinta Di Cintai”, diterbitkan oleh Fillea Music X Sony Music Malaysia dengan kolaborasi penulis lirik NurRasa dan komposer Sheikh Qalam. Lagu ini dipuji kerana bait-bait liriknya yang puitis dan melodi yang menyentuh hati.
“Dengan menggunakan khidmat Man Senoi sebagai penerbit naskhah ini, saya dapat belajar banyak dari mereka yang berpengalaman dalam industri muzik,” tambah Ayish.
Video muzik untuk “Cinta Di Cintai” turut telah dirakam di Jakarta, Indonesia, menjadi pengalaman pertama Ayish bekerjasama dengan kru profesional dalam produksi video musik.
“Saya mengagumi Ziana Zain dan Misha Omar atas cara mereka menyanyi dan karisma mereka. Impian saya adalah untuk satu hari nanti dapat berduet bersama mereka,” tambahnya lagi.
Single “Cinta Di Cintai” telah dilancarkan secara rasmi pada 12 Julai lalu dan boleh didapati di pelbagai platform digital. Video muziknya turut boleh ditonton melalui YouTube Sony Music VEVO.
Ayish Malkan berharap lagunya yang baru dapat diterima dengan baik oleh peminat dan mampu membawa namanya lebih jauh dalam arena muzik tanah air.