Tiga Sahabat Usahawan AIM Kedah Terima Sijil Halal Jakim

- Advertisement -

CYBERJAYA – Tiga Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Wilayah Kedah menerima sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk perniagaan yang mereka jalankan.

Zarina Bakar yang merupakan Sahabat Usahawan AIM Cawangan Yan menerima sijil halal untuk produk beliau yang berasaskan pes masakan.

Manakala Che Non Ahmad dari Cawangan Kota Setar pula menerima sijil halal untuk produk beliau iaitu ketupat palas sejuk beku dan penerima ketiga ialah Norli Hamzah dari Cawangan Sungai Petani bagi produk aneka sos.

Ketiga-tiga Sahabat Usahawan ini menerima sijil halal sempena Fiesta Sahabat Usahawan AIM Wilayah Kedah yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick ketika hadir merasmikan majlis penutupan yang berlangsung semalam.

“Seramai 35 Sahabat Usahawan telah terpilih menyertai program Road To Halal yang dilaksanakan oleh Jabatan Pembangunan Usahawan AIM sejak tahun 2022 dan daripada jumlah itu 12 orang telah menerima sijil halal JAKIM.

“Pada tahun ini, AIM menyasarkan 40 lagi Sahabat Usahawan akan menerima sijil halal ini apabila sesi bimbingan selesai dilaksanakan di Wilayah Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

“Pensijilan halal JAKIM ini menjadi program utama AIM dalam melahirkan usahawan yang lebih mampan, berdaya cipta yang lebih terkehadapan dan berwawasan untuk menembusi pasaran lebih luas. Ini selaras dengan nilai Malaysia MADANI iaitu Daya Cipta yang memberi keutamaan kepada pembaharuan, reka cipta dan reka baharu,” kata kenyataan KUSKOP.

Dalam pada itu, fiesta yang kembali diadakan selepas terhenti akibat Covid19 ini turut mengiktiraf Sahabat Usahawan Wilayah Kedah apabila sebanyak lima anugerah diberikan.

“Bagi Anugerah Sahabat Usahawan Berjaya diberikan kepada Che Non Ahmad dari Cawangan Kota Setar yang menjalankan perniagaan ketupat palas sejuk beku; Anugerah Sahabat Usahawan Istimewa pula diberikan kepada Norli Hamah dari Cawangan Sungai Petani yang menjalankan perniagaan Sos Ikan Bakar; Anugerah Sahabat Usahawan Setia diberikan kepada Zarina Bakar dari Cawangan Yan yang menjalankan perniagaan restoran.

“Sementara itu, untuk Anugerah Sahabat Usahawan Dedikasi diberikan kepada Siti Hajar Maidin dari Cawangan Pokok Sena yang menjalankan perniagaan jahitan telekung dan untuk Sahabat Usahawan Muda pula diberikan kepada Nursyafinaz Mat Zali dari Cawangan Sik yang menjalankan perniagaan Lokcing Bakar.

“Fiesta yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 5 petang itu, antara lain bertujuan mengeratkan hubungan dalam kalangan Sahabat AIM bersama pemimpin dan kerajaan,” katanya.

Selain itu, ia bertujuan membina jaringan perniagaan yang lebih luas sekali gus memberi peluang kepada Sahabat menerima inputinput dan pendedahan penting mengenai pelbagai topik ceramah dan pameran korporat yang diadakan.

“Antaranya taklimat Jenayah Scammer yang disampaikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspirasi Kecantikan dari Duta Beauty produk keluaran Koperasi Sahabat AIM, Pertandingan Sambal Belacan Meletop dan Hidangan Kerabu Paling Sedap. Pengunjung juga berpeluang membeli pelbagai produk jualan Sahabat Usahawan AIM dan FAMA.

“Bagi sesi perkongsian ilmu pula, Sahabat Usahawan yang hadir didedahkan dengan Seminar Pemerkasaaan Usahawan Bumiputera (SPUB) dan pameran korporat agensi-agensi di bawah KUSKOP,” katanya.

Hadir sama ke program ini ialah Timbalan Menteri KUSKOP, YB Senator Puan Saraswathy Kandasami, Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad, Pemangku Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Seri (Dr) Syed Hussian AlJunid, Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz, pengurusan kanan kementerian dan ketua-ketua agensi KUSKOP.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat