PAS Percaya Keputusan Majlis Raja-Raja Berdasarkan Taklimat Semua Pihak – Abdul Hadi

- Advertisement -

KUALA LUMPU – Pas percaya bahawa kesepakatan yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja baru-baru ini diputuskan selepas mendengar taklimat daripada semua pakar yang terlibat dalam menguruskan pandemik COVID-19.

Selain itu, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Majlis Raja-Raja juga mengambil maklum berkenaan segala kesan sampingan yang mengganggu kehidupan rakyat secara keseluruhannya.

Kenyataan Abdul Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang itu menyusul selepas Raja-Raja Melayu antaranya sependapat bahawa tiada keperluan untuk meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos depan.

“Saya percaya bahawa Majlis Raja-Raja yang bersidang baru-baru ini telah mendengar taklimat daripada semua pihak yang terlibat dengan tugas menghadapi wabak tersebut, dan telah mengambil maklum berkenaan segala kesan sampingan yang mengganggu kehidupan rakyat seluruhnya,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.

Mengambil contoh, hadis Riwayat Muslim 2363, Abdul Hadi berkata, hadis berkenaan menjadi pengajaran kepada umat Islam dalam menguruskan hal dunia khususnya berkaitan negara dan rakyat.

Katanya, segala keputusan yang diambil hendaklah dirujuk kepada mereka yang ahli dan berkepakaran dalam lapangan masing-masing.

“Maka, dalam menghadapi pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia, keputusan yang dilakukan hendaklah dirujuk kepada kalangan yang pakar dalam mengawal wabak dan segala aspek yang berkaitan dengannya.

“Keputusan yang diambil sekali-kali tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana kalangan yang hanya melihat kepentingan golongan dan pihak tertentu, tanpa melihat kepada perkara asas dalam menghadapi wabak yang belum selesai ini.

“Rasulullah SAW telah menunjukkan suatu panduan dalam menghadapi keadaan wabak, yang dilaksanakan oleh para khalifah selepasnya secara selamat,” tambah Abdul Hadi.

Selain berpendapat bahawa tiada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat, Raja-Raja Melayu berpendapat bahawa suhu politik yang semakin panas perlu diredakan.

Dalam perkembangan sama, Raja-Raja Melayu turut menyokong dan senada dengan pendirian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang. – Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat