KUALA LUMPUR – Penasihat DAP Lim Guan Eng membangkitkan persoalan adakah Pas tidak ada pemimpin berwibawa sehingga melantik Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memikul dua tanggungjawab dengan memakai “dua topi” sebagai Ketua Pembangkang Parlimen dan Menteri Besar Terengganu?
Guan Eng mengingatkan, kedua-dua jawatan ini adalah tugas dan tanggungjawab yang berat nescaya setiap satu jawatan ini pun memerlukan fokus dan tumpuan sepenuhnya.
Katanya, mungkin Samsuri sendiri pun keliru mana satu jawatan yang beliau harus utamakan sama ada Ketua Pembangkang Parlimen atau Menteri Besar Terengganu.
“Sejauh manakah Samsuri mampu menjalankan tugas kedua-dua jawatan sekali gus dengan baik bila lokasi kerja terpisah begitu jauh sekali di antara Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu?
“Tumpuan sepenuh masa sebagai Ketua Pembangkang Parlimen perlukan beliau hadir persidangan mesyuarat setiap hari. Setakat ini sebagai Ahli Parlimen Kemaman, mengikut portal atas talian myparliament.calmic.com.my, beliau hanya mempunyai rekod kehadiran sebanyak 158 daripada 248 hari bersidang, yakni peratusan kehadiran sebanyak 63.7%. Komen portal ini ke atas kehadiran persidangan Parlimen beliau sebanyak 63.7% ialah “needs improvement(perlu ditambah baik)”.
“Macam mana Samsuri boleh jalankan tugas sebagai Ketua Parlimen Pembangkang dengan hanya hadir sebanyak 63.7% daripada hari persidangan Parlimen?
“Sekiranya beliau hadir pula setiap hari persidangan Parlimen, adakah beliau mampu menjalankan amanah penuh beliau sebagai Menteri Besar dengan tidak hadir di Kuala Terengganu? soal Ahli Parlimen Bagan itu dalam hantaran di Facebook beliau.
Guan mempertikai lagi, adalah tidak realistik dan kurang pratikal untuk Samsuri memakai kedua-dua topi ini dan menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.
“Akhirnya yang rugi ialah rakyat Terengganu dan pengundi yang menyokong PN di peringkat Parlimen kerana tidak dapat menfaat perhatian dan tumpuan sepenuhnya.
“Nampaknya Pas benar-benar tidak ada pemimpin yang berwibawa selain daripada Samsuri,” ujarnya sambil mengucapkan tahniah atas pelantikan Samsuri sebagai Ketua Pembangkang menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin.



