KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Setiawangsa Fadzmel Fadzil membidas kenyataan Nik Nazmi Nik Ahmad yang didakwa kembali melaungkan reformasi hanya selepas beliau tidak lagi menjadi Naib Presiden PKR.
Menurut Fadzmel, biarlah rakyat Setiawangsa menilai sendiri apa yang telah dilaksanakan sejak tahun 2018.
Katanya, dalam politik, rekod tidak boleh disolek dengan senang. Apa yang dibuat, rakyat tahu. Apa yang tidak dibuat, pun rakyat juga tahu.
“Saya mendengar dengan teliti luahan sahabat saya Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung perkembangan politik beliau, khususnya di Setiawangsa mutakhir ini.
“Semalam, beliau berbicara tentang perjuangan panjang, keberanian memulakan langkah reformasi, serta keputusan meninggalkan perjuangan lama kerana mendakwa reformasi yang diperjuangkan suatu ketika dahulu kini hanya tinggal janji.
“Satu kebetulan yang menarik.. suara sebegini hanya benar-benar kedengaran selepas beliau tidak lagi menjadi Naib Presiden PKR.
“Tapi mungkin itu lumrah politik. Ada prinsip yang lantang ketika menang. Ada pula yang lebih jelas kedengaran selepas hilang kedudukan. Ada yang berdegar ketika menjadi pembangkang tetapi lesu pemikiran bila sudah menjawat jawatan.
“Saya tidak berhasrat mengulas panjang urusan dalaman parti lain,” katanya.
Namun sebagai Ketua Pemuda Umno Setiawangsa Fadzmel memberitahu, sejak semalam ramai yang bertanya tentang keberadaan beliau di Setiawangsa.
“Pada masa yang sama, barang perlu diingat bahawa kerusi Parlimen bukan milik mana-mana individu. Ia bukan tempat persinggahan politik, bukan juga cagaran untuk rundingan selepas berlaku krisis dalaman parti. Ia adalah amanah rakyat.
“Mandat yang diberikan dalam pilihan raya bukan sekadar kepada seorang calon, tetapi juga kepada parti, perjuangan dan kepercayaan yang dibawa ketika itu. Jadi, sebarang langkah berkaitan kedudukan kerusi Parlimen mestilah ditangani secara serius, tertib dan berpandukan proses Perlembagaan.
“Kalau la termaktub juga – saya rasa elok elak lah PRK ketika PRU yang besar akan berlangsung tak lama lagi. Setiawangsa tak boleh jadi pentas drama elit politik.
“Di sini, rakyat tidak menunggu babak baharu perebutan kuasa. Mereka menunggu penyelesaian kepada kos sara hidup, kesesakan trafik, masalah parkir, keselamatan komuniti, penyelenggaraan kawasan perumahan, dan peluang yang lebih baik untuk anak muda.
“Sebagai seorang kenalan, saya mendoakan yang terbaik buat Nik Nazmi dalam perjalanan politik baharu beliau.All the best,” ucapnya.



