KBS, MSN Perlu Beri Tumpuan Kepada Acara ‘Lubuk Emas’ – Hisamudin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR — Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) perlu membuat perancangan terbaik dalam menilai sukan-sukan berpotensi menyumbang banyak pingat kepada kontinjen Malaysia dalam mana-mana temasya disertai akan datang.

Ahli Dewan Negara Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata tumpuan kepada acara ‘lubuk emas’ seperti olahraga dan renang bukan bermakna agensi yang bertanggungjawab meningkatkan mutu sukan tersebut perlu meminggirkan sukan lain.

“Langkah itu dapat membantu kontinjen negara meraih pingat dan untuk tujuan tersebut antara pendekatan yang perlu dilakukan termasuk menambah peruntukan kewangan, menghantar atlet berpotensi untuk berlatih di luar negara, selain merangka program latihan yang lebih baik.

“Selain itu, persatuan sukan di negara ini perlu memberikan maklumat yang tepat kepada KBS, MSN dan juga Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi mengelak sasaran yang diletakkan dalam mana-mana kejohanan lebih bersifat ‘syok sendiri’ dan gagal direalisasikan oleh atlet,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya ketiadaan maklumat tepat berisiko menyebabkan sasaran yang ditetapkan buat kontinjen negara gagal direalisasikan seperti mana yang berlaku di Sukan SEA Kemboja 2023 apabila Malaysia membawa pulang 34 pingat emas berbanding 40 emas yang disasarkan.

“Kegagalan di Sukan SEA Kemboja 2023 juga tidak wajar diletakkan di atas bahu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan timbalannya, Adam Adli Abdul halim sepenuhnya, sebaliknya semua pihak perlu mengambil tanggungjawab itu termasuk pemimpin persatuan sukan.

“Sasaran yang diletakkan persatuan sukan juga perlu realistik dengan kemampuan atlet masing-masing dan bukan hanya ‘gah’ dengan sasaran namun, bergelut untuk menunaikan apa yang ditetapkan apabila memasuki kejohanan seterusnya menjejaskan imej negara,” katanya.

Beliau menambah, pencapaian atlet negara di Sukan SEA Kemboja, Malaysia tidak gagal sepenuhnya biarpun gagal menepati sasaran kerana atlet-atlet muda yang dihantar berjaya melakar kejutan dan menempa kejayaan termasuk memecahkan rekod kebangsaan.

“Pendedahan kepada barisan atlet muda dan kejayaan yang dicapai mereka juga merupakan petanda positif untuk pencapain sukan negara selain akan menjadi persiapan terbaik menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand dan juga Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2027,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat