JS-SEZ dan SFZ mampu pacu ekonomi Johor atasi negeri lain – PM

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Projek berimpak tinggi seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ) mampu memacu ekonomi Johor mengatasi negeri-negeri lain dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Zon Ekonomi Khas dan dan Zon Kewangan itu kedua-duanya akan memacu pertumbuhan yang lebih pesat.

“Ia (JS-SEZ dan SFZ) sedang dirangka tapi yang penting kerana kemudahan ini membantu mempesatkan pertumbuhan ekonomi,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Negeri Johor di Padang Begonia, Angsana Johor Bahru Mall, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam.

Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata Johor terus memacu pertumbuhan dan mencatat kemajuan dan pembangunan antara yang terbaik di Malaysia.

“Kita adakan zon ekonomi khas yang boleh jalinkan hubungan akrab dengan Singapura, kita adakan zon kewangan khas di Forest City, ini semua petanda Johor akan mencatat pertumbuhan yang sangat pesat,” kata beliau.

Anwar berkata Johor juga mencatat kadar kemiskinan tegar yang rendah iaitu kurang daripada 2,000 individu dan mampu diselesaikan dalam masa yang singkat sekali gus menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, program lain seperti tebatan banjir turut diberi keutamaan bagi menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat.

“Kita tak boleh catat pertumbuhan besar (tapi dalam masa yang sama) banjir pun besar, oleh itu program tebatan banjir diberi keutamaan dan saya minta pemimpin dan pegawai pantau projek itu (agar) berjalan dengan cepat supaya dapat selesaikan masalah dihadapi oleh rakyat,” kata beliau.

Justeru, katanya, pemimpin di Johor harus memastikan pentadbiran di negeri ini bersih dari rasuah dan kepentingan rakyat jelata terbela. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat