MPPN Sokong Pindaan Akta Sewa Beli 2026, Perkukuh Hak dan Ketelusan Pengguna

KOTA KINABALU,– Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang disifatkan sebagai satu reformasi penting dalam memperkukuh perlindungan pengguna, khususnya dalam sektor kredit pengguna di Malaysia.

Pengerusi MPPN, Mohd Khair Ngadiron berkata, pindaan yang diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali sempena Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 itu akan membawa manfaat besar kepada pengguna melalui pendekatan pengiraan faedah yang lebih telus dan adil.

Menurut beliau, antara perubahan utama ialah pemansuhan penggunaan kadar faedah tetap sama rata (flat rate) dan Peraturan 78 (Rule of 78), yang akan digantikan dengan penggunaan Kadar Faedah Efektif serta Kaedah Pengurangan Baki (reducing balance method).

“Pendekatan baharu ini akan memastikan faedah dikira berdasarkan baki pinjaman sebenar. Ini memberi kelebihan kepada pengguna terutama mereka yang ingin membuat penyelesaian awal pinjaman,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

MPPN turut menyokong usaha pemodenan proses perjanjian sewa beli melalui penggunaan teknologi seperti tandatangan digital dan tandatangan elektronik, yang dijangka mampu meningkatkan kecekapan urusan serta mengurangkan risiko penipuan melalui sistem pengesahan identiti peminjam yang lebih kukuh.

Dalam masa sama, badan itu berpandangan penguatkuasaan lebih awal akta berkenaan wajar dipertimbangkan sekiranya keadaan industri mengizinkan, bagi membolehkan pengguna menikmati manfaat reformasi tersebut dengan lebih segera.

Bagaimanapun, MPPN mengambil maklum tempoh peralihan yang diberikan kepada pihak industri bagi membolehkan mereka menyesuaikan sistem operasi, dokumentasi serta proses perniagaan selaras dengan keperluan baharu yang diperkenalkan.

Mengulas perkembangan global, MPPN turut memberi perhatian terhadap ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah yang berpotensi menjejaskan harga komoditi, rantaian bekalan dan kos sara hidup. Justeru, badan itu menekankan kepentingan pemantauan harga serta amalan perniagaan yang beretika bagi melindungi kesejahteraan pengguna.

Selaras dengan tema Hari Pengguna Kebangsaan 2026, “Suara Kita, Kuasa Kita”, MPPN menyeru pengguna agar lebih peka terhadap hak masing-masing serta berhemah dalam membuat keputusan perbelanjaan.

MPPN menegaskan komitmennya untuk terus memainkan peranan sebagai badan penasihat kepada kerajaan dalam memperkukuh dasar dan perundangan berkaitan kepenggunaan demi memastikan hak dan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat