KUALA LUMPUR – Isu pertemuan Datuk Seri Hamzah Zainudin dengan Presiden UMNO di Bangkok kembali hangat apabila Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Tun Faisal Ismail Aziz, tampil mempersoalkan kewajaran dan ketelusan langkah tersebut.
Dalam tulisan bertajuk Afterthought: Kisah Hamzah ke Bangkok”, Tun Faisal membangkitkan persoalan sama ada lawatan itu benar-benar dibuat atas arahan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi tujuan menyatukan pemimpin Melayu di bawah Sekretariat Payung Besar Melayu, atau sebaliknya dilakukan tanpa mandat rasmi parti.
Menurut beliau, perkara itu tidak pernah dimaklumkan kepada Biro Politik, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) mahupun Presiden BERSATU. Malah, tiada sebarang minit atau laporan berkaitan arahan tersebut pernah dibentangkan dalam mesyuarat parti.
Beliau turut mendakwa bahawa Presiden PAS dikatakan mengetahui mengenai pertemuan tersebut, namun kepimpinan tertinggi BERSATU serta pimpinan Perikatan Nasional (PN) tidak dimaklumkan. Situasi itu, katanya, menimbulkan persoalan mengenai proses membuat keputusan dalam parti serta implikasi politik terhadap gabungan pembangkang.
Tun Faisal juga mempersoalkan status lawatan berkenaan yang didakwa sebagai jemputan rasmi berkaitan Sukan SEA. Katanya, lawatan rasmi lazimnya dilaporkan media dan dikongsi secara terbuka di platform media sosial, sebagaimana lawatan Hamzah ke Singapura sebelum ini.
Beliau kemudian menggariskan kronologi beberapa mesyuarat penting yang berlangsung sebelum dan selepas lawatan ke Bangkok, termasuk Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 9 Disember 2025 serta Mesyuarat Biro Politik dan MPT BERSATU pada Januari 2026. Dalam semua mesyuarat tersebut, katanya, Hamzah tidak pernah memaklumkan mengenai pertemuan di Bangkok atau memohon mandat rasmi.
Tun Faisal turut mendedahkan dakwaan wujud rundingan awal antara kem Hamzah dan kem Presiden UMNO sejak Ogos 2025, termasuk spekulasi mengenai kemungkinan jajaran politik baharu melibatkan pertukaran sokongan kuasa.
Perkara itu dikaitkan dengan gagasan “Kolaborasi Agung” yang diumumkan Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung parti pada Januari lalu, yang bertujuan menghimpunkan semua parti Melayu dan Islam di bawah satu platform besar tanpa menggugat Kerajaan Perpaduan.
Menurut Tun Faisal, persoalan besar kini ialah sama ada langkah tersebut mencerminkan percaturan politik strategik atau tindakan individu yang berpotensi menjejaskan perpaduan dalam BERSATU dan PN.
Sehingga kini, Hamzah Zainudin belum mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjawab dakwaan yang dibangkitkan. Isu ini dijangka terus menjadi perhatian ketika spekulasi mengenai kerjasama politik baharu dalam kalangan parti Melayu semakin rancak diperkatakan.



