KUALA LUMPUR- Sokongan ADUN Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari daripada Perikatan Nasional (PN) kepada Kerajaan Negeri Selangor mengukuhkan lagi pentadbiran Kerajaan Perpaduan di negeri itu.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan, sokongan bekas Pengerusi Bersatu Selangor itu sebagai sesuatu yang di luar jangkaan, Amirudin berkata tindakan Rashid pastinya menyuntik lebih motivasi kepada pendukung Pakatan Harapan (PH) khususnya ahli PKR di semua peringkat untuk terus berjuang mempertahan dan memperkukuh kerajaan sedia ada di Selangor.
“Itu pilihan beliau, saya rasa beliau sedar mengenai sebarang kesan di sebalik tindakan itu khususnya selepas pindaan Perlembagaan Bersatu,” lapor Bernama di Shah Alam, semalam.
Pada 6 Mac lepas, Rashid mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Amirudin dan mendakwa keputusan itu dibuat setelah beliau meneliti titah ucapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memuji pentadbiran kerajaan negeri berada di landasan tepat demi kemajuan negeri serta kesejahteraan rakyat.
Amirudin, yang juga Naib Presiden PKR, tidak menolak kemungkinan berlaku pertambahan sokongan dalam kalangan ADUN pembangkang antaranya disebabkan oleh faktor pemilihan Bersatu yang bakal diadakan kelak.
Beliau turut mengulas cadangan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Zaid Ibrahim agar PH menjalin kerjasama dengan Bersatu sebelum pilihan raya umum akan datang.
Pengerusi PH Selangor itu berkata gabungan tersebut memiliki perancangan sendiri dalam persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.
“… kami boleh menganalisis cadangan itu namun semestinya kami memiliki perancangan sendiri,” katanya.