Perbualan telefon ‘cikgu dan murid’ sebelum PRU-15 bukti besar hubungan sulit – PAS sangkal Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – PAS menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan Zahid bahawa Muafakat Nasional (MN) gagal kerana parti Islam itu yang meruntuhkannya.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mengemukakan beberapa bukti yang menjadi punca keruntuhan MN.

“Saya membaca kenyataan Presiden Umno di Tanah Merah bahawa MN gagal kerana PAS yang meruntuhkannya.

“Saya ucapkan selamat berpuasa kepada Datuk Seri Zahid. Ramadan ini kita perbanyakkan amal ibadat dan kurangkan pertembungan, takut melarat sehingga mengurangkan pahala nanti. Apatah lagi sengaja melontarkan isu yang tidak perlu yang tentunya akan memanjangkan perbahasan antara kedua-dua pihak.

“Sekadar mengingatkan, perbualan telefon antara ‘cikgu dan murid’ serta ‘gumpalan kertas A4’ yang berlaku sebelum PRU15 ialah sebesar-besar bukti telah berlaku hubungan sulit antara Datuk Seri secara peribadi dengan pimpinan Pakatan Harapan (PH),” bidas Ahli Parlimen Pasir Mas itu di Facebooknya, semalam.

Tambah beliau, pakatan sulit BN-PH itu akhirnya ia terlaksana selepas PRU15.

“Sudah tentu hujah yang biasa didengar ialah kerana ia titah Yang Dipertuan Agong agar BN bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan persekutuan. Ya, semata-mata patuh kepada titah sahaja.

“Andaikan ia benar, soalannya adakah kerana Titah juga BN sanggup bekerjasama dengan PH membentuk kerajaan negeri di Perak walaupun ada alternatif yang lain untuk membentuk kerajaan dominasi Melayu Muslim? Adakah kerana titah juga BN sanggup bekerjasama dengan PH membentuk kerajaan di Pahang walaupun ada alternatif lain untuk membentuk kerajaan dominasi Melalyu Muslim? Jika kerana titah, titah yang mana? Atau titah siapa?

“Dan, apabila Datuk Seri Zahid menyatakan harapan agar kerjasama ini kekal sehingga PRU16, dengan maksud di dalam pilihan raya akan datang, BN akan terus bekerjasama dengan PH menentang PN satu lawan satu, adakah ia juga kerana titah? Tidakkah itu dengan sendirinya bermaksud selepas PRU16 nanti BN akan terus bekerjasama dengan PH membentuk kerajaan (jika pun menang)?

“Janganlah pergunakan kalimah titah sampai begitu sekali. Panjang lagi jawapan boleh diberikan, tetapi lebih baik setakat ini sahaja sekadar respon,” ujarnya sinis.

Kata Fadhli lagi, jika tidak dimulakan oleh Datuk Seri Zahid, tiada keperluan untuk menjawab sebenarnya.

“Kerana semua orang sudah tahu duduk letak isu sebenar.

“Buat masa sekarang, jika Datuk Seri terus istiqamah untuk bersama PH, saya ucapkan selamat berjaya. Selamat berpuasa,” ucap beliau.

Sebelum itu, Zahid menegaskan bukan Umno yang meruntuhkan MN yang dibina antara parti itu dengan PAS.

Katanya, adalah lebih baik buat masa ini, Umno bersama-sama dengan gabungan Kerajaan Perpaduan bagi membentuk kekuatan dan kestabilan.

“Saya fikir buat masa ini, biarlah kami bersama-sama dengan rakan kerajaan Madani bagi membentuk kekuatan dan kestabilan,

“Rakyat boleh menilai apa yang berlaku dan biarlah politik itu berdasarkan kepada sistem demokrasi dengan menggunakan nilai-nilai Islam sebagai keutamaan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat