Sesi sekolah mula Januari -Disember dikembalikan pada 2026

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sesi persekolahan setiap tahun akan kembali kepada Januari hingga Disember, pada 2026.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, sejak 2022, kalendar akademik negara ini terpaksa diubah bermula Mac susulan pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

Kah Woh berkata, kerajaan sudah memulakan usaha menyusun dan mengawal Kalender Akademik Persekolahan bagi sesi 2024/2025 pada Februari 2025.

“Kawalan dan perancangan ini dibuat bagi memastikan sesi persekolahan pada tahun 2026 dapat bermula pada bulan Januari sehingga Disember.

“Pada masa yang sama, KPM perlu memastikan bahawa penyediaan kalendar akademik adalah berdasarkan Peraturan-Peraturan Pendidikan (penggal, hari dan cuti sekolah) 1998 (Pindaan) 2021.

“Peraturan itu menetapkan bahawa jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik hendaklah tidak kurang daripada 190 hari,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian kepada soalan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) yang bertanya sama ada KPM berhasrat untuk mengembalikan semula kalender persekolahan kepada asal, iaitu Januari hingga Disember.

Kah Woh menambah, seperti penyediaan kalendar akademik tahun-tahun sebelum ini, KPM akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan seperti kesatuan/persatuan keguruan termasuk Kesatuan Perkhidmatan Keguruan Kebangsaan (NUTP), Kesatuan Guru Sarawak (STU) dan Kesatuan Guru Kerajaan Sabah.

Sesi libat urus itu katanya, adalah untuk mendapatkan maklum balas berhubung penyediaan draf Kalendar Akademik Tahun 2025 dan draf Kalendar Akademik Tahun 2026 sebelum diangkat untuk pewartaan.

“Pada masa sama, KPM juga akan memastikan kalendar akademik yang disediakan memenuhi tempoh pengajaran dan pembelajaran secara optimum iaitu antara 32 hingga 36 minggu bagi menyelesaikan keseluruhan kurikulum persekolahan.

“Penjajaran kepada jadual peperiksaan awam juga akan dilaksanakan agar selari dengan perubahan kalendar akademik persekolahan,” jelasnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat