KUALA LUMPUR – Pengusaha halal Bumiputera digesa menembusi pasaran eksport halal global bukan hanya melalui sektor makanan dan minuman (F&B), tetapi juga dalam sektor lain seperti bahan-bahan (ingredients), kosmetik serta farmaseutikal.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata permintaan terhadap produk halal global kini semakin tinggi dengan pasaran dijangka mencecah nilai AS$5 trilion pada 2030.
“Kita harus melihat dari segi pasaran eksport produk halal ini kerana pada 2023, pasaran global eksport halal adalah bernilai AS$3 trilion… cukup besar dan dijangkakan pada 2030, permintaan ini meningkat dan bernilai AS$5 trilion,” lapor Bernama dalam wawancara khas sempena pasca Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024, baru-baru ini.
Zahid yang juga Pengerusi Majlis Halal Malaysia berkata, pengusaha halal Bumiputera harus sedar bahawa pasaran halal global adalah sangat besar, dan permintaan bukan saja datang daripada pasaran Muslim tetapi juga pasaran bukan Muslim yang mementingkan aspek kebersihan.
“Kita harus terus menggalakkan pengusaha-pengusaha halal Bumiputera untuk tidak hanya menjual produk mereka dalam pasaran domestik, tetapi ke peringkat antarabangsa juga,” katanya.
Berdasarkan data yang dilaporkan, pasaran Muslim global setakat 2022 menyumbang 24 peratus kepada populasi dunia, iaitu bersamaan 1.9 bilion orang dan menjelang 2030, ia dijangka mencecah 2.2 bilion orang.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah seterusnya mengingatkan pengusaha halal Bumiputera agar jangan mengamalkan konsep 3T apabila menjalankan perniagaan mereka, terutama sekali bagi sektor bahan-bahan halal (halal ingredients), iaitu tanam, tinggal dan tuai.
“Tiada baja, tiada apa-apa… jadi bagaimana kita hendak dapat siapkan bekalan yang banyak untuk memenuhi permintaan? Contohnya, jika ada permintaan 10 kontena serbuk serai untuk satu bulan, kalau setengah kontena pun tidak dapat dipenuhi, bagaimana?
“Bagi pengeluar bahan-bahan halal, setakat ini 87 peratus dikuasai oleh usahawan-usahawan bukan Bumiputera… jadi saya menyeru semua pengeluar produk halal Bumiputera untuk lebih cakna hal ini. Jangan menganggap produk-produk yang kita keluarkan itu sebagai sesuatu yang bersifat ‘separuh masa.’
“…tetapi dengan geran, latihan yang ada, kita mesti cepat mengambil peluang ini untuk kita berhijrah daripada pengusaha mikro menjadi pengusaha sederhana dan mengeksport produk melalui MATRADE (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia), HDC (Halal Development Corporation) dan memasuki penyertaan dalam MIHAS (Malaysia International Halal Showcase) serta HALFEST (Halal Fiesta Malaysia) yang memang tersedia,” katanya.
Zahid berkata, beliau juga telah mengadakan koordinasi dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk pengeluaran sijil halal secara lebih cepat, dengan syarat pengusaha halal Bumiputera memenuhi garis panduan ditentukan agensi kerajaan itu.
Dalam pembentangan pada sesi Libat Urus Pengukuhan Industri Halal KEB 2024, 29 Februari lalu, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Dr Ameer Ali Mydin mencadangkan satu sistem ‘tier’ dan ‘green lane’ diwujudkan untuk pengusaha Bumiputera mendapatkan pensijilan halal.
Katanya, berdasarkan data, hanya 3,562 syarikat Bumiputera mendapatkan penarafan halal berbanding 5,600 bukan Bumiputera pada 2023.
Daripada jumlah itu, 6,857 adalah perusahaan mikro, manakala 1,155 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan 1,150 lagi syarikat multinasional.
Malaysia merupakan peneraju pasaran global dalam industri makanan halal dan menduduki tempat pertama dalam Indeks Ekonomi Islam Global selama sembilan tahun berturut-turut.
Pada 2022, jumlah nilai eksport halal ialah RM59.46 bilion, dengan menyumbang 7.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.