Abdul Hamid Perlu Lapor SPP Dakwaan Usaha Jatuhkannya Sebagai KPN – Hamzah

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador perlu melaporkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) berhubung dakwaannya mengenai kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan gerakan dalaman pegawai muda PDRM yang mahu menjatuhkan beliau, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Hamzah, yang juga Pengerusi SPP, berkata Abdul Hamid tidak pernah membawa isu itu kepada SPP dan ini merupakan kali pertama beliau mendengar ‘ada kartel dalam PDRM.’

“Sekiranya dakwaan Abdul Hamid itu benar, beliau sepatutnya membawa perkara itu dalam mesyuarat SPP.

“Dia tak pernah bawa isu ini dalam SPP padahal SPP adalah suruhanjaya tertinggi dalam perkhidmatan polis,” katanya kepada media selepas melancarkan Bas Mobile Jabatan Pendaftaran Negara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan Abdul Hamid menerusi program ‘Sinar Live bersama IGP’ semalam bahawa wujud gerakan dalam kalangan pegawai muda PDRM yang bercita-cita untuk menjatuhkannya.

Abdul Hamid mendakwa gerakan itu juga merupakan kumpulan sama yang mendalangi kartel dalam PDRM dengan hasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka.

Ditanya mengenai prestasi Abdul Hamid sebagai Ketua Polis Negara, Hamzah berkata beliau gembira dengan perkhidmatan Abdul Hamid setakat ini.

Abdul Hamid dilantik sebagai Ketua Polis Negara secara kontrak selepas bersara bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 4 Mei 2019 hingga 3 Mei 2021. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat