MALANG – Seorang wanita berusia 22 tahun ditahan oleh pihak polis di Malang, Jawa Timur, Indonesia, selepas dikesan memandu kereta BMW dengan nombor plat palsu bertuliskan “N 3 NEN”.
Wanita yang dikenali sebagai RS berasal dari Pekanbaru, Riau, Sumatera, dan didapati menggunakan nombor plat tersebut untuk tujuan membuat kandungan di TikTok.
Ditahan di Jalan Soekarno-Hatta, Malang
Menurut laporan Merdeka, RS diberhentikan oleh polis trafik tempatan ketika memandu BMW tersebut di Jalan Soekarno-Hatta, Kota Malang, pada Jumaat (14 Februari).

Hasil siasatan mendapati bahawa nombor plat asal kereta BMW itu adalah ‘N 1688 ABG’, namun sengaja ditukar kepada ‘N 3 NEN’ untuk kandungan media sosial.
Untuk konteks, perkataan “Nenen” dalam Bahasa Indonesia dan Bahasa Melayu mempunyai makna yang tidak senonoh kerana ia merujuk kepada penyusuan bayi.
Lebih mengejutkan, kereta BMW tersebut bukan milik RS, tetapi merupakan kepunyaan rakannya. Namun, idea untuk menukar nombor plat dan memandu dengan nombor pendaftaran palsu itu adalah rancangan RS sendiri.
Wanita Mohon Maaf & Dikenakan Denda RM137
Selepas ditahan, RS segera mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka:
“Plat ini tidak senonoh. Saya memohon maaf dan mengakui kesalahan saya. Saya tidak akan melakukannya lagi. Saya minta maaf.”
Sebagai hukuman, polis Indonesia mengenakan denda sebanyak IDR500,000 (RM137) ke atas RS dan mengarahkannya untuk segera menukar kembali nombor plat kepada yang asal.
Dalam masa yang sama, pihak berkuasa turut memberi peringatan keras kepada pengguna jalan raya agar tidak mengubah nombor plat kepada sesuatu yang lucah atau tidak senonoh, kerana ia boleh mengganggu konsentrasi pemandu lain.