Pesawat Malaysia Airlines Ditugaskan Bawa 312,390 Dos Vaksin Covid-19

PUTRAJAYA – Pesawat penumpang Airbus A330-300 milik Malaysia Airlines yang dihiasi livery Jalur Gemilang bakal menempa sejarah apabila ditugaskan untuk menerbangkan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech untuk keperluan Malaysia pada Ahad ini (21 Feb).

Pesawat berkenaan akan membawa 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech untuk penghantaran pertama ke Malaysia menjelang Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara berfasa bermula 26 Feb.

Ketua Pegawai Operasi MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo) Mohd Zulkefly Ujang berkata pemilihan pesawat yang mempunyai livery Jalur Gemilang adalah simbolik yang melambangkan vaksin tersebut adalah untuk rakyat Malaysia.

“Kita ada banyak pesawat dengan livery tertentu seperti Harimau Malaya, jadi pemilihan pesawat ini sudah tentunya kerana ada Jalur Gemilang untuk tunjukkan yang ini adalah untuk rakyat Malaysia ,” katanya kepada Bernama.

MASkargo adalah cabang kargo Malaysia Airlines Bhd. MASkargo diberi tanggungjawab menyelaras proses penerimaan vaksin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mohd Zulkefly berkata tiada pengubahsuaian perlu dilakukan terhadap pesawat penumpang tersebut bagi membawa vaksin berkenaan kerana hanya bahagian kargo pesawat akan digunakan bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, sejak pandemik COVID-19 melanda, banyak pesawat penumpang digunakan untuk perkhidmatan kargo bagi memastikan hubungan perdagangan dengan negara luar dapat dilaksanakan.

“Ketika pandemik penumpang tiada. Oleh itu, kita laksanakan alternatif digelar P2C iaitu penumpang kepada kargo yang mana pesawat penumpang membawa peralatan seperti test-kit COVID-19, kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan pelitup muka,” katanya.

Mengenai persiapan di lokasi ketibaan vaksin, Mohd Zulkefly berkata persiapan rapi sedang dijalankan di Advanced Cargo Centre (ACC), KLIA bagi memastikan proses penerimaan berjalan lancar.

“Kita akan pastikan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang COVID-19 seperti penjarakan fizikal dipatuhi oleh semua yang hadir,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa memaklumkan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech akan tiba di negara ini pada 21 Feb, menjelang pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara berfasa bermula 26 Feb ini.

Muhyiddin akan menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan bersama-sama petugas barisan hadapan.

Fasa pertama program imunisasi itu bermula Februari hingga April melibatkan petugas barisan hadapan, diikuti fasa kedua bermula April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Fasa ketiga pula melibatkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas bermula dari Mei hingga Februari tahun depan. – Bernama

Topik Hangat

Tiga Lagi ADUN Amanah Keluar Parti – Laporan

CYBERJAYA - Sekurang-kurangnya tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Amanah Nasional (Amanah), kali ini di Johor dilaporkan bertindak keluar parti untuk...

Muhyiddin Mana Lebih Sakit Kena Cucuk Atau Titah Agong?

KUALA LUMPUR - Perkara yang paling ditakuti oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan parti yang dipimpinnya ialah sidang Parlimen dan Pilihan Raya Umum...

Ismail Sabri bakal dilantik TPM, Zahid dipinggir punca UMNO berantakan?

KUALA LUMPUR – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disebut-sebut bakal dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri. Desas-desus ini khabarnya antara punca UMNO...

Berita Berkaitan

1,745 Jangkitan Baru Covid-19, Tujuh Kematian Direkodkan Hari Ini

KUALA LUMPUR - Dalam tempoh 24 jam lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 1,745 jangkitan baharu COVID-19 dengan dua daripadanya merupakan kes import. Jumlah positif...

UMNO lega tidak diharamkan

KUALA LUMPUR- Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan parti itu amat berpuas hati dengan keputusan semakan perundangan Mahkamah Persekutuan hari ini. “Syukur kepada...

UMNO sah cerai Bersatu-PN? : Laporan

KUALA LUMPUR - UMNO telah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memaklumkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu untuk menamatkan...