Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi kenyataan ingin merujuk kepada siaran media Berita Harian bertajuk ‘PKBM gesa KBS selamatkan Velodrom Rakyat’ bertarikh 14 Januari lalu.
Mengulas lanjut, KBS berkata semasa penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak, Kerajaan Persekutuan melalui KBS telah memperuntukkan dana sebanyak RM12.7 juta untuk menaik taraf fasiliti Velodrom Rakyat selari dengan tanggungjawab bersama untuk memajukan sukan negara.
“Sukan adalah di bawah senarai bersama dalam Perlembagaan Persekutuan dan tanggungjawab pembangunan sukan serta fasiliti sukan perlu dipikul bersama Kerajaan Persekutuan dan Negeri, ”kata kenyataan itu.
Katanya, Velodrom Rakyat Ipoh telah siap dibina pada tahun 1989 atas tanah milik kerajaan negeri. Velodrom ini adalah milik Kerajaan Negeri Perak di bawah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
“Justeru, KBS berharap Kerajaan Negeri dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) turut memainkan peranan dalam menyenggara fasiliti ini supaya dapat dimanfaatkan oleh atlet dan rakyat khususnya di Perak, ”ujar kenyataan itu lagi.
Untuk rekod, Tan Sri Dato’ Seri G. Darshan Singh adalah individu yang bertanggungjawab
dalam menerajui projek membina Velodrom basikal pada tahun 1986 pertama di Malaysia yang dinamakan Velodrom Rakyat melalui dana awam yang berjaya dikumpul oleh beliau sebanyak RM3.25 juta.
Velodrom Rakyat Ipoh mempunyai nilai sejarahnya yang unik, digunakan buat kali pertama pada temasya Sukan Sea pada tahun 1989. – SUARA.TV



