Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Pengarah Kanan Bahagian Pengiklanan & Digital Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim dilantik sebagai Ketua Pengarah Tourism Malaysia yang baharu berkuat kuasa 8 Disember 2025.
Mohd Amirul Rizal menggantikan Datuk Manoharan Periasamy yang bersara wajib pada 6 Disember 2025.
Tourism Malaysia dalam kenyataan memaklumkan pelantikan ini dibuat oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Tiong King Sing selaras dengan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 10 (1) Akta 481: Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992.
“Mohd Amirul Rizal merupakan pemegang Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Pelancongan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), memulakan kerjayanya bersama Tourism Malaysia pada 2 September 2002 dan sejak itu beliau telah memegang pelbagai portfolio dalam pemasaran dan promosi pelancongan negara.
“Beliau pernah berkhidmat di Bahagian Penyelidikan sebelum menyandang jawatan sebagai Pengarah Pejabat Negeri Tourism Malaysia Terengganu dan Pengarah Pejabat Luar Negeri Tourism Malaysia Seoul, Korea Selatan pada tahun 2008.
“Seterusnya pernah berkhidmat di Bahagian Promosi Domestik dan Acara, Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia & Afrika),”kata kenyataan itu.
“Mohd Amirul Rizal turut memainkan peranan penting sebagai Ketua Sekretariat Visit Malaysia 2026 (VM2026), selain tanggungjawab penting dalam Tourism Malaysia.
Beliau juga aktif dalam persatuan dan telah dilantik sebagai Presiden Kelab Rekreasi Tourism Malaysia, menunjukkan kepimpinan yang seimbang dalam aspek strategik, operasi dan pemerkasaan warga kerja, ”katanya lagi.
“Dengan pengalaman selama 23 tahun dalam pelbagai aktiviti pemasaran dan promosi pelancongan, pelantikan beliau diyakini akan memperkukuh perkembangan industri pelancongan negara dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan unggul diperingkat global menjelang VM2026, ”tambah kenyataan itu lagi.-SUARA.TV



