KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil hari ini menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa MCMC 2025 kepada 25 pelajar cemerlang melalui MCMC LEGASI dan MCMC CARE.
Tawaran biasiswa oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
mencerminkan komitmen jangka panjang MCMC bagi membangunkan bakat
berkemahiran tinggi untuk memperkukuh daya saing Malaysia dalam memajukan
sektor komunikasi dan multimedia negara.
Kedua-dua biasiswa ini menyediakan pembiayaan penuh serta pendedahan industri
secara berstruktur bagi melengkapkan bakat muda Malaysia dengan kemahiran
dalam bidang pengajian seperti telekomunikasi, media, dasar pengawalseliaan,
keselamatan siber dan Internet of Things (IoT).
Biasiswa MCMC LEGASI ditawarkan kepada lima (5) orang pelajar berprestasi tinggi
untuk melanjutkan pengajian di dalam atau luar negara. Biasiswa MCMC CARE pula
ditawarkan kepada 20 orang pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk
melanjutkan pengajian di universiti awam tempatan.
Biasiswa MCMC LEGASI merupakan biasiswa berasaskan merit yang ditawarkan
kepada pelajar cemerlang yang mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda
dalam bidang berkaitan komunikasi dan multimedia di universiti terkemuka sama ada
dalam atau luar negara. Selain pembiayaan penuh bagi yuran pengajian dan kos sara
hidup, program ini turut menawarkan penempatan latihan industri serta jaminan
pekerjaan di MCMC.
Semua penerima biasiswa akan didedahkan kepada bidang seperti pembangunan
peraturan, infrastruktur digital, inovasi dasar dan keselamatan rangkaian. Mereka juga
akan menerima latihan dan pensijilan dalam pelbagai kemahiran sebagai persediaan
untuk memimpin sektor ini sejurus tamat pengajian.
Biasiswa MCMC CARE pula merupakan biasiswa berasaskan keperluan yang
bertujuan membantu pelajar berpotensi tinggi daripada komuniti yang kurang
berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda di universiti awam
tempatan. Selain bantuan kewangan penuh, para penerima biasiswa juga akan
mendapat peluang menjalani latihan industri di MCMC.
Proses pemilihan penerima biasiswa telah dijalankan dengan teliti dan melibatkan 907
permohonan – 588 bagi program LEGASI dan 319 bagi program CARE. Calon-calon
telah melalui beberapa peringkat temu duga termasuk penilaian akademik, keperluan
kewangan, ujian psikometrik serta temu duga terakhir oleh jawatankuasa bebas yang
terdiri daripada pegawai MCMC dan ahli akademik. Pemilihan turut memastikan wakil
dari Sabah dan Sarawak diberikan peluang sewajarnya bagi mencerminkan
kepelbagaian bakat anak muda Malaysia.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Abdul Halim
Hamzah dan Pengerusi MCMC, YBhg. Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.



