Isu Sumareh: PBNP Masih Tunggu Keputusan FIFA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) masih menunggu keputusan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), berhubung status pemain naturalisasi negara Mohamadou Sumareh, yang bertindak menamatkan kontrak dengan pasukan berkenaan pada musim ini kerana mendakwa tidak dibayar gaji.

Pengurus Pahang Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, mereka menghormati saranan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), yang meminta mereka menggunakan prosedur terbaik bagi mendapatkan keputusan berhubung isu Sumareh.

“Kita cari titik penyelesaian terbaik untuk kedua-dua pihak (PBNP dan Sumareh), kita tidak mahu kemelut ini berlaku lagi (sehingga) menjadi satu fenomena yang besar dalam negara sebab isu Sumareh,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Sumareh yang kini beraksi dengan kelab Liga Thailand, Police Tero FC sebelum ini, mengambil keputusan mengaktifkan klausa Artikel 8.7 di bawah seksyen kontrak pemain, kerana mendakwa PBNP masih berhutang dengannya, dan memutuskan untuk membuat aduan rasmi kepada FIFA berhubung isu berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan, Mohammed Suffian menafikan dakwaan bekas pemain pertahanan pasukan berkenaan Ivan Carlos, bahawa PBNP masih berhutang dengan pemain kelahiran Brazil itu.

Sebaliknya, Mohammed Suffian menjelaskan isu berkenaan menjadi rumit disebabkan Carlos meminta PBNP menjelaskan pembayaran gaji menerusi cek luar negara, yang mengambil masa untuk diterima oleh pemain berkenaan yang sebelum itu mengambil keputusan kembali ke Brazil, selepas berakhirnya saingan Liga Malaysia pada musim ini.

Baru-baru ini, Carlos menerusi laman Instagramnya mendakwa PBNP masih belum melunaskan tunggakan gajinya, sekali gus menyebabkan beliau mengambil keputusan meninggalkan pasukan berkenaan.

Sementara itu, Mohammed Suffian mengesahkan PBNP berada di peringkat akhir untuk memuktamadkan jurulatih baharu yang bakal membimbing pasukan berkenaan, yang bakal dikenali dengan nama Sri Pahang FC bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021.

Mohammed Suffian mendedahkan antara jurulatih asing berada dalam radar pasukan berkenaan adalah dari Portugal, Jerman dan Sepanyol, namun menegaskan kriteria utama pemilihan bakal jurulatih pasukan berkenaan adalah, mesti mempunyai pengetahuan mengenai bola sepak rantau ASEAN.

Beliau pada masa sama turut mengesahkan bekas jurulatih pasukan itu Dollah Salleh, masih kekal bersama mereka pada musim hadapan, namun masih belum menentukan tugas sebenar Dollah.

Mohammed Suffian turut mengesahkan PBNP masih memburu khidmat dua pemain asing yang bakal mengisi kuota pemain Asia dan ASEAN.

Pahang mengekalkan khidmat Herold Goulon dari Perancis bagi saingan Liga-M 2021, selain turut mengambil khidmat bekas pemain import Terengganu FC Lee Andrew Tuck dari England, dan pemain Argentina Sergio Aguero, yang beraksi bersama pasukan Kuala Lumpur Rovers dalam saingan Liga M3 pada musim ini.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat